Peralihan tenaga Asia mesti berdasarkan kesaksamaan, keadilan, kata Anwar

Peralihan tenaga Asia mesti berdasarkan kesaksamaan, keadilan, kata Anwar

Perdana menteri berkata usaha penyahkarbonan yang pinggir golongan miskin dan rentan memburukkan lagi ketidaksamaan.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa satu kerangka kewangan yang jelas dan menyeluruh bagi menyokong peralihan tenaga bersih di Asia.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa peralihan tenaga di Asia mesti berdasarkan prinsip kesaksamaan dan keadilan, sambil memberi amaran bahawa pendekatan ‘satu penyelesaian untuk semua’ boleh memburukkan lagi ketidaksamaan sedia ada.

Berucap pada perasmian Persidangan Tenaga Asia 2025, Anwar berkata kesaksamaan mesti menjadi teras peralihan tenaga, terutamanya dalam menangani keperluan komuniti miskin dan terpinggir.

“Usaha penyahkarbonan yang mengetepikan keperluan golongan miskin dan rentan hanya akan memburukkan jurang ketidaksamaan,” katanya, sambil menambah meluaskan akses kepada tenaga mampu milik dan boleh diharap adalah penting untuk menjamin peralihan yang adil.

Anwar turut menyifatkan sebagai ‘mengarut’ untuk mengharapkan negara-negara segera meninggalkan sumber tenaga tradisional sedangkan negara bergelut memenuhi permintaan tenaga terus meningkat.

Katanya, Asia perlu melabur dalam meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan dalam sistem tenaga sedia ada — satu cabaran besar memandangkan bahan api fosil masih menyumbang hampir 80% daripada bekalan tenaga global.

Anwar turut menyeru agar diwujudkan kerangka kewangan yang jelas dan menyeluruh bagi menyokong peralihan tenaga bersih di Asia — yang mampu membina keyakinan pelabur dan menarik modal ke dalam projek tenaga boleh boleh dibaharui.

Beliau berkata Asia Tenggara hanya menerima 2% daripada pelaburan tenaga bersih global pada 2023, dan menyifatkannya sebagai ‘jurang besar’ bagi rantau yang memiliki potensi tinggi dalam tenaga boleh dibaharui.

Mengenai usaha peralihan tenaga di Malaysia, Anwar berkata beberapa inisiatif seperti skim pembekalan tenaga boleh diperbaharui korporat, yang membolehkan syarikat mendapatkan tenaga bersih menerusi grid nasional menggunakan model akses pihak ketiga.

Beliau juga menyentuh tentang mekanisme pembiayaan hijau seperti skim pembiayaan teknologi hijau, yang bertujuan merancakkan pelaburan mampan.

Malaysia juga merancang untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil secara berperingkat demi meningkatkan bahagian tenaga boleh dibaharui kepada 70% menjelang tahun 2050.

Setakat 2023, tenaga boleh dibaharui menyumbang 23% daripada keseluruhan campuran penjanaan tenaga negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.