Pengarah PBT Melaka ditahan disyaki salah guna kuasa babit RM50 juta

Pengarah PBT Melaka ditahan disyaki salah guna kuasa babit RM50 juta

Suspek berusia 50an disyaki lakukan kesalahan antara 2020 hingga 2023, turut melibatkan isterinya.

macc sprm
Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie berkata, kes disiasat bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
PETALING JAYA:
Seorang pengarah sebuah Jabatan Kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kuasanya melabur saham kira-kira RM50 juta.

Lelaki berusia lingkungan 50an yang disyaki melakukan perbuatan itu antara 2020 hingga 2023 ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka kira-kira 1 petang tadi, menurut sumber.

“Suspek melantik isterinya yang bekerja di sebuah bank sebagai agen pelaburan bagi pelaburan saham berjumlah kira-kira RM50 juta,” katanya.

“Siasatan awal mendapati suspek juga dipercayai menggunakan dana wang awam dan juga wang amanah tanpa kelulusan pegawai pengawal kewangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie yang mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka esok untuk tujuan permohonan reman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.