
Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Mad Zaidi Karli, berkata MoU APG yang dikemas kini penting bagi mempertingkatkan keterhubungan elektrik merentasi Asean dan mengukuhkan keselamatan tenaga serantau.
Mesyuarat turut menilai draf garis panduan bagi inisiatif kabel dasar laut, termasuk cadangan menghubungkan tenaga hidro Sarawak ke kawasan berpermintaan tinggi di Asia Tenggara.
Tema tahun ini ‘Menjana Asean: Merapatkan Jurang, Membina Kemakmuran’, mencerminkan matlamat memperkukuh kerjasama serantau menerusi integrasi tenaga.
Seramai kira-kira 250 peserta, termasuk pegawai kanan tenaga serta wakil dari Sekretariat Asean dan Pusat Tenaga Asean, menghadiri mesyuarat tiga hari itu.
Perbincangan ini akan menjadi asas kepada Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Asean (AMEM) ke-43 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada September ini.
Rundingan mengenai MoU APG yang disemak semula dijangka dimuktamadkan dengan pemeteraian perjanjian itu pada AMEM kelak.
Rancangan bagi rangkaian kabel dasar laut serantau yang baharu yang dipersetujui oleh pemimpin Asean tahun lalu turut berada dalam agenda. Ini susulan penyahaktifan sistem terdahulu yang menghubungkan Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina, yang siap pada 1983.
Mesyuarat dianjurkan Petra ini merupakan sebahagian daripada kepengerusian Asean oleh Malaysia tahun ini, dengan penyertaan semua 10 negara anggota dan Timor-Leste sebagai pemerhati. Rakan dialog seperti China, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Rusia serta agensi tenaga global turut hadir.
Agenda mesyuarat meliputi semakan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga Asean (APAEC), penyediaan keputusan untuk mesyuarat menteri akan datang, serta meneruskan perbincangan mengenai:
- Grid Tenaga Asean
- Keselamatan tenaga serantau
- Pembiayaan tenaga boleh baharu
- Dana peralihan tenaga
- Integrasi grid
- Pemuktamadan dokumen dasar APAEC
- Pengesahan Perjanjian Keselamatan Petroleum Asean
Mesyuarat ini turut bertujuan menyelaraskan strategi tenaga serantau dan mengukuhkan kerjasama dalam keutamaan bersama.