Lesen pemandu bas nahas UPSI digantung

Lesen pemandu bas nahas UPSI digantung

JPJ turut buka kertas siasatan terhadap pemilik bas termasuk syarikat yang menerima pajakan permit.

Pada 13 Jun, pemandu bas nahas UPSI, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, mengaku tidak bersalah terhadap 15 pertuduhan memandu secara berbahaya di Mahkamah Majistret Gerik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung lesen memandu vokasional (PSV) pemandu bas yang terlibat nahas maut 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ketua Pengarah Aedy Fadly Ramli, berkata tindakan itu diambil mengikut peruntukan Seksyen 56(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sementara siasatan terhadap kejadian berkenaan sedang dijalankan.

“JPJ turut membuka kertas siasatan terhadap pemilik syarikat pengendali kenderaan terbabit, termasuk syarikat yang menerima pajakan permit operasi bas berkenaan.

“Sebagai langkah proaktif demi menjaga kepentingan awam dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya, penggantungan lesen ini akan kekal berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 13 Jun, dilaporkan pemandu bas berkenaan, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, mengaku tidak bersalah terhadap 15 pertuduhan memandu secara berbahaya yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

Dia dituduh memandu secara berbahaya dan melulu sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar UPSI, di Mahkamah Majistret Gerik.

Sebelum ini, pemandu bas itu mendakwa kenderaan dipandunya mengalami masalah brek.

Sabtu lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata bas persiaran terbabit nahas itu dekat Tasik Banding, Gerik, tidak menunjukkan kenderaan berkenaan mengalami kegagalan mekanikal pada bahagian brek.

Loke berkata, berdasarkan dapatan awal teknikal berkenaan dikeluarkan Puspakom, keadaan fizikal brek bas, semua ‘brake lining’, dan ‘brake drum’ bagi semua gandar masih berada dalam keadaan memuaskan.

Loke berkata, berdasarkan pemerhatian dan siasatan teknikal, tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan nahas.

Pada 9 Jun, 15 penuntut UPSI maut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, selepas bas persiaran membawa 42 pelajar terbabas lalu melanggar pembahagi jalan, selain sebuah kenderaan pelbagai guna turut dilanggar dari bahagian belakang.

Polis Perak juga telah mengesahkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diterima pihaknya daripada pemilik rakaman, yang memaparkan bas berkenaan dipandu laju sebelum nahas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.