
Dalam satu kenyataan, MRA berkata cukai 8% ke atas sewaan komersial akan menambah tekanan ke atas ahlinya yang kini berdepan peningkatan kos operasi tetap.
“Sewa merupakan antara kos tetap terbesar bagi banyak perniagaan dan cukai ini akan menaikkan lagi perbelanjaan operasi,” katanya.
MRA juga berkata tidak realistik untuk mengharapkan perniagaan runcit menyerap sepenuhnya impak cukai tersebut, dan banyak pihak mungkin tiada pilihan selain memindahkan kos itu kepada pengguna.
Katanya, perniagaan runcit di seluruh negara sudah pun berada di bawah tekanan besar akibat beberapa kenaikan kos, termasuk kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, tarif elektrik, serta cukai jualan 10% ke atas barangan import bernilai rendah.
“Skop keseluruhan beban yang ditanggung oleh peruncit jauh lebih luas, tetapi faktor-faktor ini sahaja sudah pun menjejaskan daya tahan dan keuntungan perniagaan,” katanya.
MRA berkata sekiranya pengecualian cukai sewaan komersial tidak dapat diberikan, kerajaan sekurang-kurangnya boleh menangguhkan pelaksanaannya sehingga keadaan makroekonomi dan geopolitik lebih stabil.
Ia juga mencadangkan cukai perkhidmatan 8% tersebut dikongsi secara sama rata antara pemilik dan penyewa, dan tidak ditanggung sepenuhnya oleh perniagaan runcit.
Antara cadangan lain termasuk pengecualian caj perkhidmatan dan bayaran kawasan bersama daripada skop cukai, serta menaikkan ambang pengecualian kepada RM2 juta jualan tahunan bagi melindungi perniagaan kecil dan persendirian.
Cukai perkhidmatan 8% ke atas perkhidmatan sewaan dan pajakan dijadual dikuatkuasakan mulai 1 Julai ini, dan terpakai kepada semua penyedia perkhidmatan yang menjana pendapatan sewa atau pajakan melebihi RM500,000 setahun.
Penyewa untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan di bawah RM500,000 dikecualikan daripada cukai ini.
MRA turut mencadangkan agar cukai perkhidmatan ini diperkenalkan secara berperingkat, bermula pada kadar 3% dan meningkat kepada 8% dalam tempoh lima tahun.
Ia juga mencadangkan agar pelaksanaan cukai itu ditangguhkan sehingga selepas Tahun Melawat Malaysia 2026 demi mengekalkan kestabilan industri dan menyokong pertumbuhan berkaitan pelancongan.
“MRA mengalu-alukan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan bagi mencari pendekatan yang seimbang dan mampan demi menyokong perniagaan dan pengguna,” katanya.