Kes Muhyiddin berkait Jana Wibawa dipindah ke Mahkamah Tinggi

Kes Muhyiddin berkait Jana Wibawa dipindah ke Mahkamah Tinggi

Hakim putus permohonan bekas PM itu penuhi ambang pindah kes, dengan tiga persoalan undang-undang sukar luar biasa.

KUALA LUMPUR 16 JANUARI 2025-Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hadir di Mahkamah Kuala Lumpur
Muhyiddin Yassin didakwa atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk terima suapan serta tiga tuduhan terima wang hasil daripada kegiatan haram.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin untuk memindahkan tujuh kes salah guna kedudukan dan menerima wang daripada kegiatan haram yang dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin, 78, selaku pemohon, dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili pendakwa raya selaku responden.

“Saya telah menimbang hujahan kedua-dua pihak dan mendapati pemohon (Muhyiddin) memenuhi ‘threshold’ (ambang) bagi kesnya dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 417(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah. Tiga persoalan undang-undang yang akan berbangkit luar biasa sukarnya.

“Walaupun saya mempunyai keyakinan penuh hakim Mahkamah Sesyen mempunyai pengetahuan undang-undang dan kepakaran mengendalikan perbicaraan kes ini, lebih wajar bagi tiga persoalan berkenaan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi,” kata hakim itu yang turut menetapkan 14 Julai untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Hisyam berhujah, permohonan pemindahan itu memenuhi ambang dan sememangnya terdapat merit yang memerlukan mahkamah melaksanakan kuasa tambahannya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 12 kepada Jadual Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Afidavit sokongan pemohon dan beberapa soalan kritikal undang-undang yang sukar di luar kebiasaan mungkin timbul dalam prosiding jenayah ini, dan bagi tujuan keadilan, perkara yang sama harus dipindahkan dan dibicarakan di hadapan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Sementara itu Wan Shaharuddin berhujah, responden tidak mempunyai sebarang keraguan terhadap kecekapan dan kebolehan hakim Mahkamah Sesyen dalam mengadili sebarang isu undang-undang yang boleh dibicarakan termasuk persoalan undang-undang yang dikemukakan Muhyiddin dalam permohonan berkenaan.

“Hakim Mahkamah Sesyen telah berkhidmat sebagai hakim di mahkamah itu lebih 13 tahun dan mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam perkhidmatan awam.

“Fakta bahawa pemohon ialah bekas perdana menteri tidak semestinya memberikannya keistimewaan untuk memilih mahkamah mana yang perlu mendengar kesnya,” katanya yang mengendalikan kes bersama Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.

Muhyiddin sebagai perdana menteri ketika itu dan presiden Bersatu didakwa atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd, serta Azman Yusoff bagi parti itu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil daripada kegiatan haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi berasingan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya pada 7 Jan 2022 dan CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Wan Shaharuddin berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.