Jabatan Peguam Negara rayu keputusan bebas Yusoff Rawther

Jabatan Peguam Negara rayu keputusan bebas Yusoff Rawther

Bekas pembantu penyelidik itu dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 12 Jun lalu.

Yusoff Rawther
Yusoff Rawther dituduh bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Yusoff Rawther daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pistol palsu.

Pada 12 Jun lalu, Hakim Jamil Hussin membebaskan Yusoff tanpa dipanggil membela diri, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan, kerana ia tidak membuktikan semua elemen kesalahan dengan bukti yang boleh dipercayai.

“Selepas mempertimbangkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, jabatan ini telah memfailkan notis rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut hari ini,” kata AGC dalam kenyataan.

Yusoff dituduh bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.

Jamil berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan bekas pembantu penyelidik itu mempunyai pengetahuan, penjagaan dan kawalan ke atas dadah dan pistol tiruan.

Dia didakwa mengedar ganja seberat 305g yang ditemui dalam kenderaan ketika ia diletakkan di hadapan surau polis Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 Sept 2024.

Dadah itu didakwa dibungkus dalam beg plastik hitam.

Yusoff juga didakwa memiliki pistol tiruan itu di luar Kondominium Senada di Jalan Bukit Kiara pada 9.25 pagi hari sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.