59 pegawai, anggota polis dibuang kerja tahun ini

59 pegawai, anggota polis dibuang kerja tahun ini

Semua pegawai dan anggota itu didapati terlibat dalam kes dadah, isu integriti, jenayah, rasuah dan syariah.

azri ahmad
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad berkata dalam tempoh lima bulan tahun ini seramai 671 individu ditahan kerja dan 146 lagi digantung kerja. (Gambar Bernama)
MARAN:
Seramai 59 daripada 492 pegawai dan anggota polis yang dikenakan tindakan tatatertib dibuang kerja dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, menurut Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad.

Beliau berkata kebanyakan mereka yang dikenakan hukuman berkenaan terlibat dengan kes dadah, diikuti isu integriti, jenayah, rasuah dan syariah.

“Statistik mereka yang dikenakan tindakan berkenaan juga melibatkan kesalahan disiasat atau dilakukan pada sebelum 2025. Selain itu, dalam tempoh lima bulan ini juga sebanyak 671 individu ditahan kerja dan 146 lagi digantung kerja,” katanya dalam ucapan majlis perasmian IPD Maran.

Azri turut memaklumkan dalam tempoh sama, JIPS telah menerima 2,637 aduan dan maklumat berkaitan tatakelakuan warga polis daripada pelbagai pihak.

Beliau yang genap empat tahun mengemudi pasukan JIPS hari ini, turut berterima kasih kepada masyarakat kerana terus meletakkan keyakinan dengan menyalurkan aduan dan maklumat berharga.

“Berdasarkan statistik tindakan tatatertib yang telah dikongsikan, polis ingin memberi jaminan bahawa mana-mana pegawai polis didapati melanggar salah laku atau melakukan sebarang bentuk jenayah dan sebagainya, diambil tindakan sewajarnya tanpa kompromi,” katanya.

Azri yang bakal meninggalkan pasukan polis pada 26 Jun ini selepas 37 tahun berbakti turut memaklumkan aplikasi Aduan JIPS PDRM yang baru dilancarkan pada 4 Jun lepas telah menerima lebih 23 aduan dan memberi jaminan identiti pengadu dilindungi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.