
Katanya, Umno tidak boleh menjadi tukang sorak di luar, sambil menyifatkan parti itu akan digantikan dalam tempoh cukup singkat dengan parti lain, andai bertindak keluar kerajaan.
“Ramai tanya, kenapa kita tak keluar saja daripada kerajaan sekarang? Kalau kita keluar sekarang, dalam dua jam sahaja akan ada parti lain ambil tempat kita dan kita tak mahu jadi tukang sorak di luar, lebih baik kita berada dalam kerajaan, kita boleh buat agenda baharu, kita buat agenda, ubah sesuai dengan zaman.
“Kita masih dalam keadaan memperkasakan parti, menguatkan ‘badan’ kerana kita lemas pada 2022 dan dinamika politik sekarang tidak boleh rigid lagi kerana seluruh dunia tidak ada satu parti tunggal yang boleh menubuhkan kerajaan. Carilah mana parti, carilah mana negara, tak ada lagi dah zaman atau era satu parti dapat menubuhkan kerajaan secara sendiri, ia dah tamat.
“Maka apa cara kita? Itu sebabnya kita sekarang sedang meneliti kawasan mana yang boleh kita jadikan sebagai kawasan yang boleh menang walaupun betul kita ada 192 bahagian, tetapi kita mesti menggunakan politik yang realistik, jangan politik idealisme kerana ia akan mengkhayalkan kita, akan menghanyutkan kita,” katanya menurut Bernama.
Menteri luar itu berkata demikian selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Umno Cheras Empat Peringkat 2025 di Dewan Pusat Rekreasi Cheras, di Kuala Lumpur.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata agenda Melayu giat dilaksanakan kepimpinan tertinggi Umno termasuk Presiden Zahid Hamidi yang menerajui pelaksanaan TVET, walaupun bidang tersebut lazimnya terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia.
“Contohnya TVET, kita ambil alih kerana ramai anak Melayu tercicir, bukan sebab gagal peperiksaan, tetapi kerana tidak ambil peperiksaan langsung, jadi kita perlu cipta satu landasan baharu untuk mereka sebab itu kita wujudkan Dasar TVET Negara, Dasar Tahfiz Negara dan pelbagai lagi,” katanya.