
Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu, Hanafiah Mat berkata Samsuri yang masih naib presiden parti perlu tumpu pada menambah kerusi PAS untuk pilihan raya kelak.
Beliau nengulas keputusan Samsuri untuk berundur daripada jawatan yang dipertua PAS Marang, yang dipegang sejak 2019.
“Tumpuan penuh kepada naib presiden bagi menghadapi PRU16 untuk mengubah landskap politik nasional,” kata Hanafiah kepada FMT.
Beliau menambah Samsuri yang juga menteri besar perlu beri tumpuan pada mentadbir Terengganu.
Samsuri dilapor mengumumkan keputusan untuk berundur daripada jawatan pemimpin bahagian itu dalam mesyuarat agung tahunan PAS Marang semalam.
Beliau dikatakan yakin sudah tiba masa untuk individu lain ‘menyambung perjuangan’.
Sementara itu, Mursyidul Am Hashim Jasin berpandangan keputusan Samsuri bukan perkara besar, mengingatkan bahawa beliau masih naib presiden parti dan mengetuai kerajaan negeri.
“Banyak juga orang tolak bawah ini kerana kesibukan dan nak tumpukan jawatan yang lain,” katanya.
Susulan pengumuman Samsuri, timbalan beliau iaitu Mohd Nor Hamzah dilantik menjadi ketua baharu.