PN gesa bangun sistem cukai holistik sebelum luas skop SST

PN gesa bangun sistem cukai holistik sebelum luas skop SST

Ketua Penerangan Radzi Jidin berkata kerajaan juga perlu bentuk jaringan keselamatan sosial untuk tangani kenaikan kos.

buying groceries beli barang keperluan
Minggu lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan kadar cukai sifar bagi keperluan asas dikekalkan manakala kadar antara 5% hingga 10% dikenakan ke atas barangan bukan keperluan mulai 1 Julai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu mempunyai kerangka percukaian holistik dan jelas sebelum sebarang dasar dilaksanakan termasuk peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai depan.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Radzi Jidin berkata dasar itu perlu dibatalkan sehingga kerajaan dapat membangunkan satu sistem yang tidak membebankan kebanyakan rakyat.

Dalam masa sama, Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya turut meminta kerajaan menekankan kepada pembentukan jaringan keselamatan sosial yang holistik, sistematik dan teratur dalam menangani kenaikan kos.

radzi jidin
Radzi Jidin.

“Jadilah kerajaan prihatin dan memahami kesukaran rakyat bukan ambil jalan mudah melaksanakan dasar tidak mempunyai kerangka jelas semata-mata untuk meningkatkan hasil negara,” katanya dalam kenyataan.

Selain peluasan SST, pemimpin Bersatu berkenaan turut mengaitkan kerangka tidak jelas itu dengan rancangan kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar RON95 pada pertengahan kedua tahun ini.

Menurut Radzi, pelaksanaannya juga perlu ditangguh memandangkan belum ada kerangka jelas selain kesan kepada kos sara hidup, peningkatan perbelanjaan operasi perniagaan dan ketidaktentuan ekonomi global.

“PN gesa kerajaan tangguh dahulu pelaksanaan subsidi bersasar,” katanya yang turut mengulangi gesaan menangguhkan pelarasan tarif elektrik.

Minggu lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan kadar cukai sifar bagi keperluan asas dikekalkan manakala kadar antara 5% hingga 10% dikenakan ke atas barangan bukan keperluan mulai 1 Julai.

Cukai perkhidmatan pula akan diperluaskan merangkumi sewaan, pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan swasta dan pendidikan.

Jumaat lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican menjelaskan seramai 5.4 juta golongan berpendapatan rendah dan sederhana dijangka mendapat manfaat daripada langkah itu.

Menurutnya, jangkaan peningkatan hasil menerusi dasar bermula 1 Julai itu dijangka membantu memberi kemampuan kepada kerajaan menyalurkan bantuan dan melindungi golongan rentan termasuk B40 dan M40.

Mulai April lalu, jumlah penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat kepada 5.4 juta penerima berbanding 700,000 sebelum ini.

Tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM13 bilion untuk menyalurkan bantuan menerusi SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.