
Menerusi kenyataan, persatuan itu berkata inisiatif tersebut demi menghimpunkan orang ramai dan menuntut kebertanggungjawaban kerajaan melakukan reformasi segera.
“Kerajaan masih berdiam diri dan para pemimpin turut tidak berbuat apa-apa,” katanya.
Justeru, forum ‘Lawan Lupa, Keadilan untuk Teoh Beng Hock’ akan membawa tiga tuntutan utama, antaranya mencari kebenaran, menegakkan keadilan serta melakukan reformasi institusi.
Menurut persatuan itu, kerajaan digesa bertindak atas keputusan Mahkamah Rayuan dan membawa pakar penyiasatan jenayah antarabangsa menjalankan siasatan bebas dan telus dalam tempoh setahun.
Katanya, ini penting kerana pihak polis telah berulang kali menunjukkan sikap tugas yang lalai dalam siasatan sebelum ini.
“Selain itu, prosedur soal siasat dan penahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun agensi penguatkuasaan lain mesti dikawal ketat bagi mengelakkan kematian dalam tahanan pada masa hadapan.
“Kerajaan perlu meminda Seksyen 30 Akta SPRM 2009, meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan (UNCAT) dan menggubal akta antipenyeksaan,” katanya sambil menambah reformasi SPRM perlu dipercepat bagi memastikan kebebasannya.
Forum pertama akan diadakan di Pulau Pinang pada 22 Jun, dan Melaka pada 11 Julai, yang turut dihadiri wakil NGO hak asasi, Bersih, dan juga aktivis lain.
Sebelum ini, adik Teoh, Lee Lan berkata pihaknya tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan AGC kerana ia mengambil masa lama dengan peluang untuk menang tipis.
21 Mei lalu, AGC mendapati bukti tidak mencukupi untuk mengenakan tuduhan susulan siasatan semula oleh polis seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November tahun lalu, yang turut mengklasifikasikan kes itu sebagai NFA.
Lee sebelum ini menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan itu dan meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunaikan janji menegakkan keadilan dalam kes abangnya.
Teoh ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas berjam-jam disoal siasat SPRM.