Himpunan helah PAS tonjol dominasi dalam PN, dakwa ketua Pemuda PH

Himpunan helah PAS tonjol dominasi dalam PN, dakwa ketua Pemuda PH

Woo Kah Leong dakwa himpunan Pemuda PAS pada bulan depan dibuat untuk perkukuh kedudukannya dalam PN.

Woo Kah Leong bidas himpunan ‘Turun Anwar’ yang diumumkan Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden.
PETALING JAYA:
Pemuda Pakatan Harapan (PH) mendakwa PAS cuba menonjolkan dominasi dalam Perikatan Nasional (PN) apabila sayapnya menggerakkan himpunan ‘Turun Anwar’ yang sebelum ini berkait Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), bulan depan.

Ketuanya Woo Kah Leong berkata perhimpunan dijadualkan pada 27 Jul depan itu disifatkan sebagai helah dan sandiwara politik PAS yang kini menguasai jawatan menteri besar di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Menurutnya, jumlah kerusi Parlimen PAS juga lebih tinggi berbanding rakannya, Bersatu.

“Oleh itu, himpunan itu hanyalah sandiwara politik untuk memperkukuhkan kedudukan PAS dalam PN di samping mengekang pengaruh Bersatu.

“Hakikatnya, PN kini berpecah-belah, tidak mempunyai dasar pentadbiran menyeluruh, tidak kiranya di peringkat persekutuan mahupun dalam empat negeri yang ditadbir tidak mampu membuat keputusan calon perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.

“Daripada melaungkan slogan ‘Turun Anwar’, lebih baik PN mengadakan mesyuarat dalaman untuk membuat keputusan tentang calon perdana menteri mereka.”

Semalam, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden mengumumkan himpunan membantah URA ditukar kepada ‘Himpunan Turun Anwar’, antaranya bagi menyatakan solidariti kepada Yusoff Rawther.

Katanya, keputusan itu berikutan permohonan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk merujuk kepada mahkamah persoalan undang-undang termasuk sama ada perdana menteri mempunyai imuniti daripada saman, berkaitan saman sivil yang difailkan oleh Yusoff.

Himpunan Bantah Ura pada mulanya dijadualkan pada 14 Jun, namun Pemuda PAS mengambil keputusan untuk menangguhkannya susulan penangguhan sidang Dewan Rakyat pada 21 Julai hingga 28 Ogos depan.

Woo turut menyifatkan perubahan itu membuktikan PAS tidak mempunyai hala tuju berkait dasar awam dan hanya tahu menunggang isu.

“Sebelum ini Pemuda PAS beria-ria membantah PSB (URA) biarpun akta itu belum pun dibentang atau dibahas dalam Parlimen, namun kini bertukar wajah dan fokus menyerang PMX (Anwar),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.