Hadi mesti undur jika PAS mahu tawan Putrajaya, kata penganalisis

Hadi mesti undur jika PAS mahu tawan Putrajaya, kata penganalisis

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata PAS perlu kepimpinan baharu untuk tarik pengundi bukan Melayu.

muktamar pas
Azmi Hassan berkata Presiden PAS Abdul Hadi Awang (tiga dari kiri) berjaya beri nafas baharu kepada parti tetapi sudah mencapai tahap tepu dalam menarik sokongan pengundi Melayu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis politik berpandangan Abdul Hadi Awang wajar berundur sebagai presiden PAS, sambil memberi amaran bahawa jika kepimpinannya diteruskan ia berisiko menyebabkan parti itu tidak berkembang.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Hadi, 77, boleh diberi pujian kerana berjaya mentransformasikan parti Islam itu sepanjang dua dekad kepimpinannya.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

“Beliau berjaya menyuntik nafas baharu kepada PAS, yang kini muncul sebagai parti paling berjaya dalam PRU lalu,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, katanya, Hadi kini sudah ‘mencapai siling’ dari segi potensi parti di peringkat nasional.

Pada PRU-15 pada 2022, PAS memenangi 43 kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perlis.

“Tetapi kini PAS seolah-olah sudah sampai ke tahap tepu dalam menarik sokongan pengundi Melayu dan gagal memikat pengundi bukan Melayu. Masa Hadi sudah berlalu,” katanya.

Parti perlukan kepimpinan baharu

Azmi berkata walaupun PAS memiliki sokongan kukuh di kawasan majoriti Melayu konservatif, parti itu masih gagal menembusi sokongan pengundi bukan Melayu.

Untuk menerajui kerajaan Persekutuan, katanya, PAS perlu melantik barisan kepimpinan baharu terdiri daripada golongan profesional serta menampilkan imej nasional yang lebih luas.

Sama seperti Azmi, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut berpandangan bahawa PAS sukar untuk maju ke hadapan selagi parti itu tidak diterajui kepimpinan baharu.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Namun, katanya, beliau tidak yakin parti itu akan melantik profesional sebagai pemimpin baharu.

“Mereka yang akan menggantikan (Hadi) tetap akan datang daripada kelompok ulama. Orang seperti Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, pun dianggap ‘tidak cukup ulama’.

“Jadi retorik terhadap bukan Islam tidak akan banyak berubah,” katanya.

Pada 7 Jun lalu, Naib Presiden PAS Amar Abdullah mengakui parti Melayu-Islam itu bergelut meraih sokongan bukan Melayu.

Namun, katanya, pengundi yang membentuk sokongan teras PH dilihat semakin lantang mengkritik kerajaan pimpinan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, dan PAS menyasarkan kumpulan ini menjelang PRU akan datang.

Kartini Aboo Talib
Kartini Aboo Talib.

Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata PAS sebenarnya memiliki pemimpin yang berwibawa untuk mengambil alih teraju parti itu daripada Hadi.

Antaranya ialah Samsuri, Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin, dan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari.

Menurut Kartini, Hadi boleh diberikan peranan sebagai penasihat utama parti.

James Chin dari Universiti Tasmania pula berpendapat tidak mungkin Hadi akan berundur.

James Chin
James Chin.

“Beliau sedar bahawa dirinya adalah ‘gam’ yang menyatukan PAS,” kata Chin kepada FMT. “PAS yang kita lihat hari ini sebenarnya mencerminkan Hadi.”

Chin berkata pengundi bukan Melayu tidak akan menyokong PAS walaupun Hadi tidak lagi menjadi presiden, kerana pemimpin lain dalam parti itu turut membawa ‘pandangan ekstrem’ dalam isu kaum dan agama.

“Walaupun Hadi berundur, tidak banyak yang akan berubah kecuali berlaku rombakan menyeluruh dalam parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.