Pejalan kaki tercampak dirempuh kereta terbabas ditemui lemas

Pejalan kaki tercampak dirempuh kereta terbabas ditemui lemas

Mayat lelaki itu ditemui kira-kira 150m dari lokasi kemalangan di Jalan Ipoh.

langgar pejalan kaki
Seorang pejalan kaki tercampak ke dalam sungai selepas dirempuh sebuah kenderaan yang terbabas di Jalan Ipoh menghala Bulatan Kepong pagi semalam.
PETALING JAYA:
Seorang pejalan kaki yang tercampak ke dalam sungai selepas dirempuh kereta dipandu warga Bangladesh yang terbabas di Jalan Ipoh menghala Bulatan Kepong semalam ditemui lemas pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata mayat lelaki itu ditemui pasukan penyelamat jam 7.30 pagi tadi, kira-kira 150m dari lokasi kejadian, lapor Sinar Harian.

Katanya, identiti lelaki itu masih belum dikenalpasti dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut berhubung kemalangan ini masih dijalankan.

“Pihak polis kini mengklasifikasikan semula kes kemalangan terbabit di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang pejalan kaki hilang apabila tercampak ke dalam sungai selepas dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Jalan Ipoh.

Polis berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta Nissan Sylphy dipandu lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun dari arah PPR Batu Muda, hilang kawalan dan melanggar bahagian hadapan kanan sebuah Toyota Camry dipandu wanita warga Vietnam berusia 43 tahun yang datang dari arah Batu Kentomen.

Nissan Sylphy itu kemudian merempuh seorang pejalan kaki sebelum terjunam ke bawah jambatan dan tersangkut di celahan konkrit serta saluran paip besi.

Pemandu Nissan Sylphy itu dilaporkan mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.