
Presiden Mohammad Ubaidillah Enam@Iman mendakwa, keadaan itu menyebabkan ada pengawal keselamatan terpaksa mengikutinya walaupun tindakan tersebut tidak dibenarkan kerajaan.
“Pengawal keselamatan terpaksa melakukan pengimbasan MyKad sebagai syarat membenarkan kemasukan pelawat ke dalam bangunan atau kawasan jagaan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Selasa lalu yang pengawal keselamatan tidak mempunyai kuasa mahupun hak untuk meminta, memegang atau mengimbas MyKad orang awam.
Agensi itu memaklumkan hanya lima kategori pegawai dibenarkan berbuat demikian bawah Peraturan 7(1), Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990, iaitu pegawai JPN, pegawai polis, pegawai kastam, anggota tentera yang sedang bertugas, serta pegawai awam diberi kuasa oleh ketua pengarah pendaftaran negara.
JPN turut menegaskan, penggunaan alat elektronik untuk mengimbas data MyKad juga tidak dibenarkan kerana ia tertakluk peruntukan bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Bagi mengelakkan masalah, Ubaidillah berkata PIKM meminta pihak berkepentingan terutama pemilik premis bangunan menyemak semula prosedur akses keluar masuk supaya mematuhi kehendak JPN.
“Kita tidak mahu meletakkan pengawal keselamatan dalam situasi serba salah antara arahan pelanggan dan undang-undang kerajaan,” katanya.
Ubaidillah berkata, PIKM turut menasihatkan ahlinya menghentikan amalan mengimbas MyKad melainkan dalam situasi khas disokong justifikasi undang-undang dan persetujuan bertulis pelawat, susulan perkembangan baharu itu.
Menurutnya, PKIM juga sedang menyemak dan memperhalusi garis panduan berkaitan daftar keluar masuk pelawat dan pengurusan rekod identiti.
“Ini bagi memastikan semua penyedia perkhidmatan kawalan keselamatan bernaung bawah PIKM mematuhi sepenuhnya peraturan ditetapkan JPN dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” katanya.