
Menyifatkannya sebagai peruntukan terbesar pernah diberikan kepada industri itu, Anwar berkata dana berkenaan akan digunakan untuk latihan, pembangunan dan pendedahan kepada para wartawan – khususnya yang muda bagi memastikan profesion kewartawanan tidak ketinggalan.
“Saya setuju untuk memperuntukkan satu dana yang besar bagi membantu organisasi media di negara ini sebagai langkah awal.
“Ia bagi memastikan dunia kewartawanan tidak ketinggalan dalam usaha mengejar perubahan AI, di samping menjamin keseimbangan antara teknologi dan etika kewartawanan,” katanya dalam ucapan Hari Wartawan Nasional (Hawana) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Pada sidang media selepas itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata mekanisme bagi syarikat media memohon dana berkenaan akan diumumkan nanti.
Beliau berkata, peruntukan baharu itu merupakan kesinambungan kepada Project Sigma, satu kerjasama antara kementeriannya dan Google, yang sebelum ini telah membantu lebih 30 organisasi media mencari sumber pendapatan baharu.
“Kami menamakannya Project Sigma, selaras dengan Generasi Z yang gemar menggunakan perkataan ‘sigma’. Inisiatif ini bertujuan membantu organisasi media memahami cara golongan muda melihat dan menggunakan media,” katanya.
Susulan hasil memberangsangkan projek itu, beliau berkata kementerian memohon peruntukan tambahan RM30 juta demi melaksanakan inisiatif sama.
“Ini bagi membantu organisasi media mencapai kelestarian kewangan,” katanya lagi.
Hindar ‘reka naratif’
Dalam ucapannya, beliau berkata pengamal media serta tokoh kewartawanan perlu berwaspada agar tidak terpengaruh dengan ‘manufacturing dissent’ iaitu usaha mencipta naratif untuk menanam kebencian, menghina atau memfitnah pihak lain demi kepentingan tertentu.
Katanya, kebebasan media menjadi tunjang asas demokrasi, selain memelihara kebebasan untuk memberikan kritikan dan maklum balas.
Namun, beliau berkata kerajaan tidak akan bertoleransi ke atas ‘persepsi yang diputar belit’ demi menghina dan menyerang pihak lain.
“(Ahli falsafah Amerika Syarikat) Noam Chomsky ungkapkan sebagai ‘manufacturing consent’ untuk melakar suatu yang menyebabkan orang terpaksa menerima,” katanya.