Institusi pendidikan swasta diberi setahun pengecualian levi latihan

Institusi pendidikan swasta diberi setahun pengecualian levi latihan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pengecualian bermula 2026 itu bagi membolehkan institusi itu meningkatkan kualiti.

hrd corp
Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) ketika ini mengutip levi bagi tujuan latihan dan pengembangan kemahiran.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan buat kali pertamanya mengumumkan pengecualian pembayaran levi latihan kepada semua institusi pendidikan swasta selama setahun bermula 1 Jan 2026.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pengecualian itu meliputi semua institusi seperti prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, pendidikan vokasional, institut pendidikan tinggi dan institusi latihan umum.

“Setelah mendengar banyak pandangan daripada institusi pendidikan dan latihan (swasta), kerajaan Madani cari penyelesaian sebaiknya untuk latih anak-anak kita. (Pengecualian) ini untuk membolehkan mereka beri tumpuan meningkatkan mutu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan 2025 di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil. Turut hadir Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Perdana menteri turut mengarahkan ketua setiausaha bagi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memantau, supaya institusi latihan berkenaan menawarkan kualiti latihan yang sebaiknya apabila terdapat pengecualian levi.

“Pantau juga supaya syarikat-syarikat swasta yang mencatat keuntungan tinggi, beri sedikit pulangan kepada pekerja,” katanya.

Mengikut Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001, majikan perlu membayar levi kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) iaitu agensi di bawah Kesuma bagi tujuan latihan dan pengembangan kemahiran.

Sementara itu Anwar turut menekankan keperluan supaya golongan muda dilatih dalam bidang-bidang baharu menggunakan kaedah semasa, selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani dan tidak boleh terus kekal di takuk lama menggunakan tahap latihan yang ketinggalan.

Beliau berkata antaranya transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan pembuatan cip.

“Semikonduktor di Malaysia ini bukan kecil, dianggap sebagai hab, pangkalan bagi rantau Asean ini. Hampir semua syarikat semikonduktor terbesar dan AI berpangkalan di Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.