Bahasa ibunda sokong struktur majmuk negara

Bahasa ibunda sokong struktur majmuk negara

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata perbezaan bahasa antara kaum harus dilihat sebagai keunikan Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang, berkata bahasa ibunda berdepan cabaran dipinggir bukan kerana hilang nilai, tetapi bahasa asing lebih dominan dalam ruang digital dan profesional.
PETALING JAYA:
Perbezaan bahasa ibunda menjadi tiang penting menyokong struktur kemajmukan negara, selain terus menekankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang, berkata justeru, ‘perbezaan’ itu harus dilihat sebagai keunikan Malaysia malah diangkat menjadi asas pembinaan negara bangsa.

“Kita tidak memaksa keseragaman, tetapi kita mendidik kepada kefahaman, penghormatan, dan penerimaan. Jadi bahasa tidak harus menjadi sempadan, tetapi jambatan yang merapatkan jurang antara komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Sobri Mat Daud pada Majlis Karnival dan Penyampaian Hadiah Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2025 di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) Kuala Lumpur.

Aaron turut menyeru generasi muda Malaysia bangkit sebagai ejen penghidup bahasa ibunda bagi memperkukuh roh perpaduan Malaysia sejati.

“Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 152 dengan jelas memperuntukkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara, namun pada masa sama turut menghormati hak-hak semua warganegara mengguna dan memelihara bahasa ibunda masing-masing.

“Bahasa ibunda lain seperti Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan Dusun, Semai, dan pelbagai lagi turut dihargai dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada warisan bangsa, sekali gus mencerminkan jiwa masyarakat majmuk yang saling lengkap-melengkapi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahasa ibunda kerap kali terpinggir susulan arus teknologi, bukan kerana hilang nilai tetapi akibat kelekaan dalam keselesaan bahasa asing yang lebih dominan dalam ruang digital dan profesional.

“Golongan belia hari ini memegang amanah besar sebagai penjaga khazanah bahasa masa depan. Saya tetap optimis dan percaya bahawa mereka memiliki daya tahan budaya dan jiwa kebangsaan yang utuh.

“Mereka bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga semakin sedar akan pentingnya memelihara akar warisan bangsa termasuk bahasa ibunda mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.