
Penjelasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyusul penggeledahan di rumah Tan Sri tersebut di Bandar Tasik Selatan, Cheras, semalam.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM berkata, pihaknya mendapat maklumat terdapat bilik rahsia menyimpan barang berharga termasuk senjata berkaitan siasatan kes penyelewengan itu di kediaman individu tersebut.
“Kehadiran pasukan ACTS adalah bertujuan menjaga keselamatan dan mengiringi pegawai serta barang yang disita bagi dibawa pulang ke ibu pejabat SPRM, Putrajaya,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, SPRM semalam menyita beberapa barangan mewah seperti beg, jam tangan berjenama, jongkong, syiling dan patung emas, berlian serta barangan kemas.
Sitaan itu susulan penggeledahan Bahagian Siasatan SPRM di kediaman individu merangkumi 84 beg mewah bernilai kira-kira RM3 juta; 11 unit jam tangan berjenama berjumlah kira-kira RM1 juta; jongkong, syiling dan patung emas bernilai kira-kira RM3 juta; juga berlian serta barangan kemas bernilai kira-kira RM4 juta.
Katanya, selain itu satu set alatan kasino berjenama mewah dianggarkan bernilai RM150,000 juga disita.
“SPRM turut menemui sebuah bilik rahsia kebal yang merupakan tempat simpanan senjata dan peluru, namun tiada sitaan dilakukan kerana senjata berkenaan didaftarkan atas nama syarikat keselamatan milik individu terbabit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan keseluruhan penggeledahan dan sitaan semalam berjumlah kira-kira RM16 juta dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi sitaan dilakukan.
Katanya, proses merakam keterangan individu tersebut akan ditangguhkan pada tarikh lain disebabkan faktor kesihatannya.