
Majistret N Sivashangari mengeluarkan perintah reman terhadap pelajar Tingkatan Lima itu selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, lapor Harian Metro.
Ia bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan kes itu yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media semalam melaporkan remaja terbabit ditahan selepas disyaki membunuh ibu dan abangnya serta mencederakan adik bongsunya di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, kira-kira 5 pagi.
Ibu tunggal berusia 51 tahun serta anak lelaki berusia 21 tahun ditemui dengan kesan tikaman di ruang tamu rumah manakala adik bongsu suspek berusia 13 tahun ditemui berlumuran darah di jalan hadapan rumah.
Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar dipetik sebagai berkata, wanita itu merupakan guru sekolah jenis kebangsaan Cina, manakala anak sulungnya pelajar kolej di Melaka.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat tekanan perasaan dan dendam dialami suspek kerana sering dipaksa belajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang.