
Ketua Polis Klang Utara, S Vijaya Rao, berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan berbanding kertas siasatan inkuiri polis pada mulanya.
Menurutnya, siasatan dalaman letupan itu turut membabitkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Beliau berkata, siasatan forensik polis dan bomba mengesahkan letupan itu akibat tindak balas serbuk kimia karbida.
“Setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan akibat letupan itu,” katanya di Mes Pegawai Kanan IPK Selangor di sini.
Beliau berkata, empat individu diambil keterangan setakat ini, antaranya pemilik kenderaan terkesan letupan itu dan pemilik kedai terbabit, selain menunggu laporan daripada Masjid Bandar Diraja Klang.
Semalam, media melaporkan dinding sebuah kedai buah-buahan runtuh selepas bahan kimia digunakan untuk mempercepat proses pemeraman buah meletup.
Kejadian turut menyebabkan enam kereta diparkir tepi masjid berhampiran mengalami kerosakan.