
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Mohd Zamzuri Isa berkata, kemalangan kira-kira 11.45 pagi itu melibatkan dua buah kereta dan seorang pejalan kaki.
“Siasatan awal mendapati sebuah kereta Nissan Sylphy dipandu lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun dari arah PPR Batu Muda, hilang kawalan dan melanggar bahagian hadapan kanan sebuah Toyota Camry dipandu wanita warga Vietnam berusia 43 tahun yang datang dari arah Batu Kentomen.
“Nissan Sylphy itu kemudian merempuh seorang pejalan kaki sebelum terjunam ke bawah jambatan dan tersangkut di celahan konkrit serta saluran paip besi,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Zamzuri berkata, pemandu Nissan Sylphy mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Mangsa pejalan kaki yang identitinya masih belum dikenal pasti disyaki terjatuh ke dalam sungai dan masih belum ditemukan, tambahnya.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh bomba daripada Balai Sentul, Jinjang dan Hang Tuah bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Unit Rondaan Bermotosikal dan JSPT Kuala Lumpur.
Mohd Zamzuri berkata, siasatan lanjut mendapati kereta yang dipandu lelaki warga asing itu bukan miliknya dan polis sedang mengesan pemilik sebenar kenderaan itu untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan lelaki warga Bangladesh itu akan ditahan untuk siasatan lanjut.