Nahas UPSI: Pemandu bas mengaku tak bersalah pandu berbahaya, melulu

Nahas UPSI: Pemandu bas mengaku tak bersalah pandu berbahaya, melulu

Mohd Amirul Fadhil Zulkifle berdepan 16 pertuduhan di Mahkamah Majistret Gerik.

Mohd Amirul Fadhil Zulkifle mengaku tidak bersalah terhadap 16 pertuduhan memandu secara berbahaya dan melulu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemandu bas terbabit nahas ketika membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) didakwa Mahkamah Majistret Gerik atas 16 pertuduhan memandu secara berbahaya dan melulu sehingga menyebabkan kematian.

Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, mengaku tidak bersalah terhadap 15 pertuduhan memandu secara berbahaya yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan, lapor Berita Harian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di KM 53 Lebuhraya Timur-Barat, 1.15 pagi, Isnin lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga tidak mengaku bersalah atas satu pertuduhan memandu secara melulu yang pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengikut seksyen itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 manakala lesen memandu digantung minimum lima tahun, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perak Muhammad Zaki Abdul Kudus bersama dua Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani dan NM Moganaraj Mithra manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Firdaus menetapkan ikat jamin RM19,000 bagi semua pertuduhan dan sebutan semula kes pada 14 Julai.

Tertuduh juga diminta tidak tidak mengganggu mana-mana mangsa dan saksi serta semua kelas lesen memandu digantung bermula hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.