Malaysia tetap hadir persidangan PBB, kata Anwar

Malaysia tetap hadir persidangan PBB, kata Anwar

Perdana menteri berkata mana-mana negara berhak mengemukakan pandangan terutama berhubung keadilan rakyat Palestin.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tetap hantar wakil ke persidangan PBB di sebalik dakwaan negara terlibat akan ‘dihukum’.
KUALA LUMPUR:
Malaysia akan tetap menghadiri persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) minggu depan walaupun terdapat dakwaan negara terlibat akan ‘dihukum’.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menegaskan Malaysia akan menghantar wakil bagi menghadiri persidangan itu kerana berpandangan mana-mana negara berhak mengemukakan pandangan terutama mengenai keadilan rakyat Palestin.

“Mana-mana negara berhak hadir untuk mengemukakan pandangan mereka terutama keadilan bagi rakyat Palestin dan Gaza. Itu pandangan kita.

“Jadi, saya menyokong inisiatif dalam hal ini oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman dan juga Presiden Perancis, Emmanuel Macron,” katanya.

Beliau ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Azzubair Ibn Awwam, Cheras.

Perancis dan Arab Saudi adalah penganjur utama persidangan itu, dan Paris dikatakan sedang mempertimbangkan untuk mengiktiraf Palestin secara unilateral.

Semalam, media melaporkan Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa mengeluarkan arahan rasmi kepada kerajaan di seluruh dunia supaya tidak menghadiri persidangan PBB di New York.

Persidangan berlangsung 17 hingga 20 Jun ini bakal membincangkan penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.

Menurut Reuters, surat rasmi dihantar pada 10 Jun itu memberi amaran terhadap negara yang mengambil tindakan anti-Israel selepas persidangan tersebut berisiko menghadapi tindakan diplomatik dari Washington.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.