
Law Teik Hua berkata, kemalangan mengakibatkan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) maut di Teluk Intan pada Mei diikuti nahas membabitkan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris di Gerik, Isnin lalu harus menjadi peringatan.
Katanya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) perlu mewajibkan segera pemasangan dashcam yang mengikut perancangan hanya dikuat kuasa pada suku pertama tahun depan, bagi membantu pemantauan kelakuan berisiko pemandu serta alat bukti menyiasat kemalangan.
“Apabila pemandu tahu tingkah laku mereka dirakam secara berterusan termasuk kelajuan, pembrekan mengejut, penggunaan lorong kecemasan…mereka cenderung memandu dengan lebih berhati-hati.
“Ini lebih berkesan jika dashcam digabungkan sistem GPS bersepadu dan pemantauan langsung syarikat pengendali atau pihak berkuasa,” kata ahli akademik dari Universiti Putra Malaysia itu kepada FMT.
Laporan petugas khas kemalangan membabitkan trak FRU dengan sebuah lori tipper dikeluarkan semalam memaklumkan pemasangan dashcam masih belum diwajibkan ketika ini.
Namun, APAD sedang mengemas kini garis panduan keselamatan untuk dijadikan Peraturan-peraturan Pengangkutan Awam Darat (Pengurusan Keselamatan) dengan pemasangan dashcam dijangka diwajibkan bermula suku pertama 2026.
Law berkata, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan pelaksanaan fasa awal wajib dashcam untuk bas sekolah, bas ekspres dan lori berat sebelum diperluas kepada semua kategori pengangkutan awam.
Menurutnya, tidak timbul soal perbelanjaan tinggi ditanggung pengusaha memandangkan kos seunit sekitar RM200 hingga RM500 bagi peranti mampu merakam dan pemantauan.
“Dibandingkan kos nyawa, liabiliti undang-undang, serta kerugian ekonomi akibat kemalangan, pelaburan ini sangat kecil.
“Kerajaan perlu menunjukkan ‘political will’, iaitu kesungguhan politik untuk mendahulukan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya mencadangkan kerajaan memberi pengecualian cukai kepada syarikat pengangkutan yang memasang dashcam dan GPS pada setiap kenderaan mereka.
Beliau berkata, dengan sistem canggih yang ada pada setiap kenderaan berat atau pengangkutan awam, maklumat setiap pemandu atau kenderaan boleh diintegrasikan dengan sistem penguatkuasaan.
“Dashcam boleh digabung dengan sistem pemantauan GPS dan data disalurkan kepada JPJ atau APAD untuk tindakan pantas sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang,” katanya.