Jangan bimbang, subvarian JN.1 Covid-19 tak bahaya

Jangan bimbang, subvarian JN.1 Covid-19 tak bahaya

Purata kes mingguan kekal bawah paras amaran kebangsaan dan setakat ini tiada kematian dilaporkan.

vaksin
KKM galak golongan berisiko tinggi dapatkan suntikan dos tambahan imunisasi Covid-19 secara sukarela, yang diberikan percuma di klinik kesihatan terpilih di seluruh negara.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan tiada sebarang kebimbangan perlu wujud dalam kalangan masyarakat berhubung penularan Covid-19 dengan subvarian JN.1.

Menurut KKM, subvarian baharu itu tidak berbahaya berbanding varian-varian pada awal kemunculan Covid-19.

“Walaupun kebelakangan ini terdapat peningkatan kes Covid-19 dalam komuniti, purata kes mingguan kekal di bawah paras amaran kebangsaan dan setakat ini tiada kematian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Dalam pada itu, KKM menggalakkan golongan berisiko tinggi mendapatkan suntikan dos tambahan imunisasi Covid-19 secara sukarela, bagi mengurangkan risiko jangkitan, komplikasi serius, dan kematian akibat jangkitan.

“Golongan tersebut termasuklah individu berumur 18 tahun dan ke atas, serta individu berumur 12 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi atau mengalami masalah sistem imun yang terjejas, ibu hamil dan anggota kesihatan, terutamanya mereka yang mempunyai kontak secara langsung dengan pesakit,” katanya.

Menurut KKM, vaksin Covid-19 diberikan percuma di klinik kesihatan kerajaan terpilih di seluruh negara dan individu yang layak boleh membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

Kementerian turut menegaskan orang ramai agar terus mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 bagi melindungi diri sendiri dan masyarakat daripada penularan virus itu.

“KKM juga akan terus memantau situasi Covid-19 dari semasa ke semasa dan maklumat terkini boleh diakses melalui pautan covid-19.moh.gov.my,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.