Razali Idris diperintah bela diri tuduhan menghasut

Razali Idris diperintah bela diri tuduhan menghasut

Hakim Norma Ismail memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie terhadap Razali Idris, seorang anggota exco Terengganu.

Exco Terengganu Razali Idris
Razali Idris dibicarakan atas satu pertuduhan menghasut kerana kenyataan yang didakwa diucapkan di Padang Astaka Chukai di Kemaman pada 10 Nov 2023.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan pemimpin Bersatu Razali Idris membela diri atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam ucapannya dua tahun lalu.

Hakim Norma Ismail berpendapat bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan semua ramuan pertuduhan terhadap Razali, seorang anggota exco Terengganu.

Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, dibantu oleh Sahrilnizam Amin, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memanggil antara tiga dan empat saksi untuk memberi keterangan dalam pembelaan Razali.

Perbicaraan akan diteruskan pada 26 Sept.

Timbalan Pendakwa Raya Badiuszaman Ahmad mewakili pihak pendakwaan.

Razali dibicarakan atas satu pertuduhan menghasut kerana kenyataan yang didakwa diucapkan di Padang Astaka Chukai di Kemaman pada 10 Nov 2023.

Beliau didakwa mempersoalkan perbezaan layanan yang diterima oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan rasuah. Syed Saddiq pula disabitkan dengan kesalahan pecah amanah jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.