Keadilan, kebebasan hak perlu dipertahan, kata pemimpin Bersatu

Keadilan, kebebasan hak perlu dipertahan, kata pemimpin Bersatu

Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah ulas pembebasan Yusoff Rawther daripada tuduhan edar dadah dan memiliki pistol tiruan.

Saifuddin Abdullah
Penindasan terhadap mana-mana individu atas sebab perbezaan politik harus ditolak, tegas Saifuddin Abdullah.
PETALING JAYA:
Setiap individu berhak mendapat keadilan dan kebebasan yang dijamin Perlembagaan, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah daripada Perikatan Nasional (PN).

Pemimpin Bersatu berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas pembantu penyelidik Yusoff Rawther mengingatkan semua tentang prinsip asas dalam negara demokrasi.

Yusoff hari ini dibebaskan atas tuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan, tahun lalu.

“Pembebasan ini bukan sahaja melegakan beliau dan keluarga, malah mengingatkan kita semua prinsip asas dalam negara demokrasi — bahawa setiap individu berhak kepada keadilan dan kebebasan dijamin Perlembagaan,” kata Saifuddin dalam kenyataan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu turut menegaskan penindasan terhadap mana-mana individu atas sebab perbezaan politik juga harus ditolak.

“Negara ini mesti bebas daripada budaya pendakwaan terpilih dan penyalahgunaan kuasa,” katanya menyeru semua pihak khususnya institusi penguatkuasaan dan kehakiman bertindak secara adil, profesional dan berteraskan fakta serta undang-undang.

Hakim Jamil Hussin dalam keputusannya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan kerana tidak membuktikan semua elemen kesalahan dengan bukti boleh dipercayai.

Yusoff didakwa mengedar ganja seberat 305g yang ditemui dalam kenderaan itu ketika ia diletakkan di hadapan surau polis Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 Sept 2024.

Dadah itu didakwa dibungkus dalam beg plastik hitam.

Dia juga didakwa memiliki pistol tiruan itu di luar Kondominium Senada di Jalan Bukit Kiara pada 9.25 pagi hari sama.

Dakwaan bagi pertuduhan memiliki senjata api palsu dikemukakan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, membawa hukuman maksimum penjara setahun, denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan mengedar dadah, dakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.