Integrasi sekolah menegak, perumahan bantu kurang kos pengangkutan, kata PM

Integrasi sekolah menegak, perumahan bantu kurang kos pengangkutan, kata PM

Anwar Ibrahim berkata konsep dalam projek Rumah Bakat Madani di Pulau Pinang itu juga dapat menjamin keselamatan pelajar.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata prinsip itu adalah fokus kerajaan kepada usaha untuk membawa kesejahteraan menyeluruh kepada rakyat.
KUALA LUMPUR:
Konsep sekolah menegak yang diintegrasikan bersama perumahan dalam projek Rumah Bakat Madani di Pulau Pinang dapat menjamin keselamatan pelajar selain mengurangkan tanggungan kos pengangkutan keluarga.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata penggabungan elemen pendidikan dalam pembangunan perumahan itu merupakan satu ikhtiar kerajaan Madani untuk membina kawasan kejiranan yang bersifat ihsan dan memupuk pembangunan komuniti berteraskan nilai Madani.

Beliau berkata prinsip ini merupakan fokus kerajaan kepada usaha untuk membawa kesejahteraan menyeluruh kepada rakyat dan bukannya pembangunan bersandarkan kemegahan binaan dan reka bentuk semata-mata.

“Elemen sekolah menegak yang bakal dimajukan ini, apabila diintegrasikan dengan pemajuan perumahan merupakan ikhtiar dalam memastikan keselamatan pelajar untuk ke sekolah serta saya percaya mampu mengurangkan tanggungan kos pengangkutan keluarga,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook semalam.

Anwar berkata kerajaan Madani sentiasa memberi penekanan terhadap kelulusan yang pantas melalui kerjasama rentas kementerian dan agensi serta dengan penglibatan kerajaan negeri.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata projek berkenaan merupakan satu inisiatif melibatkan pemaju swasta Skyworld, bagi membolehkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman mampu milik.

“Saya dimaklumkan pembangunan itu turut dilengkapi dengan kemudahan asas dan fasiliti yang lengkap termasuk pembangunan sekolah dan taska, surau, ruang perniagaan serta kawasan landskap dan taman,” katanya.

Terdahulu, perdana menteri menghadiri sesi pembentangan konsep projek berkenaan bersama wakil pemaju di Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.