IBR Asean Awards iktiraf Sabah negeri cemerlang

IBR Asean Awards iktiraf Sabah negeri cemerlang

Sekretariat The IBR Asean Awards 2025 menobatkan Negeri Sembilan sebagai negeri paling progresif pada tahun lalu.

kota kinabalu
Sabah mempunyai potensi dalam pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar, menurut Azman Ujang, ketua juri The IBR Asean Awards 2025. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Sabah mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai negeri paling cemerlang Malaysia pada tahun lalu menerusi pengiktirafan melalui The IBR Asean Awards 2025 anjuran International Business Review (IBR).

Pengiktirafan itu diumumkan Sekretariat The IBR Asean Awards 2025 yang turut menobatkan Negeri Sembilan sebagai negeri paling progresif Malaysia bagi tahun sama.

Bekas Adun Petagas James Ligunjang berkata buat pertama kali, anugerah itu turut memberi pengiktirafan kepada kerajaan negeri, menghargai kepimpinan cemerlang dan pencapaiannya seiring kejayaan sektor korporat.

Ligunjang dalam kenyataan berkata di bawah kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor, Sabah telah menerima penghormatan tertinggi atas pelaksanaan rangka kerja pembangunan Sabah Maju Jaya.

Rangka kerja itu berteraskan empat tonggak utama: memperjuangkan hak Sabah, memimpin dengan integriti dan kecekapan, memacu pembangunan selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, serta memelihara perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Beliau berkata, antara pencapaian utama menyumbang kepada pengiktirafan itu termasuklah peningkatan geran khas persekutuan daripada RM26 juta pada 2022 kepada RM600 juta tahun ini, serta peningkatan sebanyak 47% dalam ketibaan pelancong asing yang menyumbang kepada hasil negeri.

Kejayaan lain termasuk pemilikan kepentingan besar dalam hasil minyak dan gas melalui perjanjian kerjasama komersial dengan Petronas, yang menjana lebih RM3 bilion pada 2023, serta lonjakan pelaburan asing daripada RM132 juta pada 2023 kepada lebih RM1 bilion direkodkan tahun lalu.

Ligunjang turut menyatakan kemajuan projek Lebuhraya Pan-Borneo menghubungkan bandar-bandar utama dan kawasan luar bandar juga antara pencapaian utama kerajaan negeri.

Beliau berkata, Azman Ujang, ketua hakim anugerah tersebut, turut menekankan potensi Sabah dalam pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Beliau menyatakan peningkatan minat pelaburan asing dengan jumlah pelaburan meningkat daripada RM132.7 juta pada 2023 kepada RM1.07 bilion pada 2024, dan memuji kadar penghunian tertinggi dalam sejarah Taman Perindustrian Kota Kinabalu sebanyak 90%, dengan 288 pelabur aktif.

“Sabah juga mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi dalam sektor pembuatan di Malaysia iaitu sebanyak 4.4% pada 2023,” kata Ligunjang.

Beliau menambah Azman turut menekankan fokus kerajaan negeri terhadap pembangunan modal insan dan pemuliharaan alam sekitar, dengan 62% daripada keluasan tanah Sabah — iaitu sebanyak 4.6 juta hektar — diisytiharkan bebas daripada aktiviti pembalakan, sebagai sebahagian daripada strategi kelestarian jangka panjang.

Majlis penyampaian anugerah rasmi dijadualkan berlangsung pada 19 Julai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, dengan Hajiji dijangka hadir sebagai tetamu kehormat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.