Dr M gesa wajib ujian air kencing pemandu bas perjalanan lebih 2 jam

Dr M gesa wajib ujian air kencing pemandu bas perjalanan lebih 2 jam

Dr Mahathir Mohamad berkata ujian saringan air kencing boleh dilakukan sebelum pemandu memulakan tugas untuk perjalanan lebih dua jam.

bas kemalangan upsi n fru
Pada Mei sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan maut di Teluk Intan akibat dirempuh lori muatan batu diikuti nahas bas ekspres membabitkan 15 penuntut UPSI di Gerik, Isnin lalu.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mencadangkan pemandu bas menjalani ujian saringan air kencing untuk mengesan penyalahgunaan dadah, susulan kehilangan 24 nyawa dalam dua nahas tragis di Perak.

Beliau berkata, ujian itu boleh dilakukan sebelum pemandu memulakan tugas untuk perjalanan lebih dua jam.

“Apa kata kalau sebelum memandu bas untuk lebih dari dua jam, mereka diuji sama ada telah guna dadah atau tidak.

“Jika ada kesan kegunaan dadah, tidak dibenar memandu. Gaji tidak dibayar. Kalau marah-marah kerana diuji, juga tidak dibenar memandu,” katanya dalam kenyataan.

Pada Mei, sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) maut di Teluk Intan akibat dirempuh lori muatan batu diikuti nahas bas ekspres membabitkan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Isnin lalu.

Cadangan sama pernah diutarakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Januari lalu supaya ujian saringan air kencing diwajibkan kepada pemandu bas persiaran sebelum mereka memulakan tugas.

Menteri Tiong King Sing berkata, langkah itu perlu diambil bagi mengelakkan pemandu bas mengambil dadah ketika bertugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.