Anggota polis mengaku tak salah bunuh Farah Kartini

Anggota polis mengaku tak salah bunuh Farah Kartini

Muhammad Alif Monjani, 27, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian wanita berusia 25 tahun itu di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam, tahun lepas.

monjani
Muhammad Alif Monjani, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemukan di ladang kelapa sawit. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Anggota polis yang didakwa membunuh Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemukan di ladang kelapa sawit pada tahun lepas, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Muhammad Alif Monjani, 27, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian wanita berusia 25 tahun itu di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam, dekat sini antara 9 pagi, 10 Julai 2024 hingga 6 petang, 15 Julai tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak lebih 40 tahun dan disebat tidak kurang 12 sebatan.

Hakim Julia Ibrahim kemudian menetapkan 15 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Alif yang berpakaian kemeja-T tiba di mahkamah diiringi anggota polis dan diwakili peguam bela Nur Aida Md Zainuddin dan Aida Jaafar.

Pada 26 Julai 2024, Alif didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan membunuh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris itu, dan pada 28 Mei mahkamah berkenaan memutuskan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai 2024 sebelum mayatnya dijumpai lima hari kemudian di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, kira-kira 6 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.