3 lelaki Indonesia dijanjikan kerja, dikurung hampir setahun

3 lelaki Indonesia dijanjikan kerja, dikurung hampir setahun

Polis berkata tiga warga Indonesia itu sedang menumpang di rumah saudara.

Abdul Rozak Muhammad
Ketua Polis Timur Laut Abdul Rozak Muhammad berkata tiga lelaki Indonesia itu dalam keadaan baik dan polis sudah merakam keterangan mereka. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga warga Indonesia dikurung hampir setahun di sebuah kondominium di George Town sebelum diselamatkan polis kelmarin, sedang menumpang di rumah saudara.

Ketua Polis Timur Laut, Abdul Rozak Muhammad, berkata tiga lelaki berusia 28 hingga 52 itu dalam keadaan baik dan polis sudah merakam keterangan mereka.

Menurutnya, tiada tangkapan baharu dibuat setakat ini dan siasatan mendapati tiga mangsa tidak bekerja itu datang ke Malaysia kerana dijanjikan pekerjaan.

“Mereka masuk ke negara ini menerusi pengangkutan feri dan semua mangsa dikurung bagi mengelak melarikan diri dari rumah berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.

Semalam, media melaporkan tiga warga Indonesia diselamatkan dari sebuah pangsapuri di Jalan Dr Wu Lien Teh kira-kira 2 petang susulan laporan seorang lelaki dari Aceh berusia 47 tahun yang mencari saudaranya hilang tanpa jejak sejak setahun lalu.

Difahamkan, tiga mangsa dikurung dalam rumah dengan kaki dirantai menggunakan rantai besi dan diikat pada jeriji tingkap.

Polis turut menahan tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing dipercayai ditugaskan untuk menjaga mangsa.

Keempat-empatnya direman empat hari hingga 14 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 344 Kanun Keseksaan kerana kurungan salah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.