3 kelab termasuk KL City FC dapat lesen main Liga M

3 kelab termasuk KL City FC dapat lesen main Liga M

Dua kelab lain dapat Lesen Kebangsaan penuh terdiri daripada Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC.

KL City FC antara 3 kelab diberikan Lesen Kebangsaan penuh oleh MFL untuk bersaing dalam Liga M. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Badan bebas First Instance Body (FIB) meluluskan lesen kebangsaan untuk Kuala Lumpur City FC (KL City), Kelantan Darul Naim FC (KDN) dan PDRM FC menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim baharu.

Pengerusi FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, keputusan dibuat selepas ketiga-tiga kelab itu mengemukakan dokumen kewangan tambahan sebelum tarikh akhir 31 Mei tahun ini.

Katanya, syarat yang ditetapkan itu selaras dengan Artikel 8 (I) Peraturan Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Setelah meneliti dan menilai dokumen kewangan tambahan yang dikemukakan itu, FIB bersetuju memberikan Lesen Kebangsaan penuh kepada ketiga-tiga kelab tersebut setelah mereka berjaya memenuhi segala keperluan pematuhan ditetapkan.

“FIB merakamkan penghargaan atas kerjasama diberikan serta komitmen tinggi pihak KL City, KDN dan PDRM sepanjang proses ini dan mengucapkan selamat maju jaya dalam saingan Liga Super bagi musim 2025-2026,” katanya dalam kenyataan.

Sheikh Mohd Nasir memaklumkan, FIB sebelum ini memberikan lesen serupa kepada Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC.

Selain itu, katanya, dua kelab Liga A1 Semi Pro, iaitu Melaka FC dan Imigresen FC, berjaya mendapatkan lesen kebangsaan luar biasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.