
Kejayaan tersebut meletakkan pemain kebangsaan itu dalam kelas tersendiri apabila mengatasi pencapaian bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha yang merangkul hatrik pada musim 2010 hingga 2012.
Pemain berusia 23 tahun itu turut mendominasi tiga lagi kategori, iaitu Pemain Tengah Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia (Liga-M) 2024-2025 dan juga Fans XI (Penyerang).
Ini juga musim pertama Arif Aiman memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik (pencalonan mengikut posisi yang didaftarkan pasukan) apabila sebelum ini meraih gelaran Penyerang Terbaik sebanyak tiga kali sejak 2021 sehingga 2023.
Arif Aiman terus menjadikan Liga-M musim ini sebagai pentas untuk memperagakan kehebatan dengan mencetak 12 gol dan 13 ‘assist’ bagi membantu kelab Harimau Selatan menjulang trofi Liga Super, Piala FA serta melangkah ke final Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Bagaimanapun Arif Aiman mengakui masih belum berpuas hati dengan pencapaian tersebut dan akan cuba menyajikan aksi lebih baik selepas ini.
“Alhamdulillah, saya tak sangka saya dapat menang anugerah MVP ini. Tapi setiap tahun adalah cabaran yang tinggi buat saya.
“Saya rasa saya masih tak puas hati. Saya akan bagi yang terbaik sampai saya rasa bangga dengan diri saya,” katanya kepada pemberita selepas majlis.
Sementara itu, rakan sepasukan Arif Aiman, Bergson da Silva turut mencuri tumpuan apabila meraih Anugerah Kasut Emas Liga Super dan dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik selepas mengungguli carta penjaring terbanyak dengan 32 gol di pentas liga.
Jumlah itu adalah yang terbanyak buat penyerang kelahiran Brazil itu sepanjang beraksi di Liga-M bersama JDT, selepas kali terakhir menjadi penjaring terbanyak pada 2022 dengan 29 jaringan dalam Liga Super.
Bagi kategori Jurulatih Terbaik pula, pengendali Kuching City FC Aidil Sharin Sahak membawa pulang trofi buat julung kalinya dengan menewaskan dua calon lain, Hector Bidoglio (JDT) dan Kinoshi Katsuhito (Selangor FC).
Pernah tercalon pada musim 2019 sehingga 2021, ketua jurulatih kelahiran Singapura itu akhirnya berjaya membuktikan kredibilitinya selepas membawa Kuching City menduduki tangga keempat Liga Super pada musim kedua dalam saingan elit Liga-M.
Pencapaian ini yang terbaik bagi Kuching City yang bermula sebagai kelab amatur dan bersaing dalam Liga Bolasepak Rakyat pada 2015 sehinggalah kini berdiri gah dalam kelompok terbaik pasukan Liga Super.
Secara keseluruhan, ABK 2024-2025 menyaksikan kelab JDT menguasai lapan kategori utama yang dipertandingkan.
Selain tiga anugerah dimenangi Arif Aiman serta dua anugerah diraih oleh Bergson, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed turut menepati ramalan apabila berjaya mempertahankan gelaran Penjaga Gol Terbaik buat kali ketiga berturut-turut, manakala Feroz Baharudin merangkul trofi Pertahanan Terbaik buat kali pertama.
Selaku juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, JDT muncul Pasukan Terbaik musim ini.