2 remaja maut dirempuh di lampu isyarat

2 remaja maut dirempuh di lampu isyarat

Kemalangan malam tadi mengorbankan penunggang motosikal, Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri dan Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, masing-masing berusia 18 tahun.

kemalangan temerloh pengedar dadah
Sebuah Perodua Bezza remuk teruk selepas merempuh motosikal dinaiki dua remaja perempuan dalam kejadian di Temerloh malam tadi. (Gambar PDRM)
KUANTAN:
Dua remaja perempuan maut selepas motosikal mereka dirempuh sebuah kereta ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail, di Temerloh, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Temerloh, Mazlan Hassan, berkata kemalangan kira-kira 11 malam itu mengorbankan penunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz, Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri, dan pemboncengnya, Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, masing-masing berusia 18 tahun.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan dari arah Mentakab menuju ke Bulatan Bukit Angin. Ketika berhenti di lampu isyarat yang sedang merah, sebuah kereta Perodua Bezza dipercayai tidak memperlahankan kenderaan dan telah melanggar bahagian belakang motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini untuk bedah siasat pagi ini.

Sementara itu, Mazlan memaklumkan pemeriksaan ke atas kereta terbabit, menemukan paket plastik disyaki mengadungi dadah syabu dan heroin yang dianggarkan bernilai lebih RM6,000.

Sehubungan itu, pemandu kereta berusia 38 tahun yang beralamat di Kepong, Kuala Lumpur itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.