Terbuka untuk ‘pertandingan antara sahabat’ jika rundingan gagal, kata Mustapha

Terbuka untuk ‘pertandingan antara sahabat’ jika rundingan gagal, kata Mustapha

Ketua PKR Sabah kata pihaknya sedaya upaya mahu memastikan tiada pertembungan antara parti kerajaan.

Mustapha Sakmud
Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud tidak mahu pertembungan pada PRN akan datang menyebabkan keretakan di peringkat persekutuan. (Gambar Facebook)
SERDANG:
Ketua PKR Sabah berkata beliau secara peribadi terbuka untuk ‘pertandingan antara sahabat’ jika rundingan antara parti menuju PRN Sabah gagal.

Mustapha Sakmud berkata, pihaknya sedaya upaya mahu memastikan tiada pertembungan antara parti kerajaan, dalam rundingan yang sedang berjalan.

“Kita sebenarnya dalam peringkat perundingan ini kita cuba sedaya upaya supaya tidak ada pertandingan. Kita akan agihkan secara adil dan tidak ada bertindih.

“Tetapi kalau memang tak dapat dirunding lagi memang kita terbuka dengan ‘friendly match’. Dalam politik itu biasa,” katanya ketika ditemui dalam majlis di Universiti Putra Malaysia.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara lanjut parti yang terlibat dalam rundingan.

Semalam, Bendahari Umno Sabah, Salleh Said Keruak, mencadangkan parti yang bertanding mempertimbangkan pertandingan mesra di kerusi bertindih tetapi kekal bersatu dengan matlamat bersama.

Katana, pertindihan kerusi lebih baik ditangani sedemikian daripada membiarkan ia mencetus ketegangan, atau mendorong calon bebas yang ditaja.

Dalam pada itu, Mustapha berkata apa yang paling penting bagi PKR adalah kestabilan politik.

Beliau tidak mahu pertembungan di peringkat negeri menyebabkan keretakan di peringkat persekutuan antara sekutu.

“Jadi saya minta semua berlapang dada dan berjiwa besar. Sebab tak guna kita berlawan sesama sendiri dan mewujudkan keretakan di peringkat negeri,” katanya.

Mustapha mengingatkan masih ada tiga PRN bakal dihadapi iaitu di Melaka, Johor dan Sarawak selain PRU16.

“Sebenarnya kita nak kesepaduan ini berterusan. Kita tidak mahu bertanding terlalu banyak untuk kurangkan pergeseran antara parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.