Representasi Najib gugur tuduhan ubah wang ditolak

Representasi Najib gugur tuduhan ubah wang ditolak

Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adlin Kamarul memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy mengenai keputusan Jabatan Peguam Negara pada pengurusan kes hari ini.

najib razak
Bekas perdana menteri Najib Razak telah mengemukakan representasi bagi menggugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikemukakan terhadapnya pada Februari 2019 ditarik balik. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Najib Razak gagal menggugurkan pertuduhan kes pengubahan wang haram SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta selepas representasinya ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan Hakim K Muniandy bahawa peguam negara telah menolak representasi Najib semasa pengurusan kes hari ini.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon tarikh perbicaraan bagi memberi mereka masa untuk mengumpulkan dokumen yang sebelum ini digunakan dalam kes SRC Najib RM42 juta dan menyediakan kenyataan saksi.

“Sebanyak 807 eksibit telah dikemukakan dalam perbicaraan SRC sebelum ini di hadapan Hakim Nazlan Ghazali, dan banyak daripada eksibit itu diperlukan untuk perbicaraan sekarang.

“Permintaan rasmi akan dibuat untuk mendapatkannya daripada pendaftaran Mahkamah Tinggi,” katanya.

Dalam jawapannya, peguam bela Najib Shafee Abdullah mencadangkan mahkamah membenarkan anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi mengelak membebankan jadual mahkamah dan memberi masa kepada pihak pendakwaan menyediakan kes mereka.

Shafee berkata, dokumen berkaitan SRC berada di pelbagai mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan dan prosiding sivil tertentu.

“DNAA adalah sesuai di sini memandangkan garis masa yang tidak pasti untuk kesediaan mengadakan perbicaraan.

“Tertuduh tidak sepatutnya terpaksa menunggu selama-lamanya untuk tarikh perbicaraan tetap,” katanya.

Muniandy kemudian bertanya kepada Ashrof jika DNAA akan memudaratkan pihak pendakwaan, yang kemudiannya menjawab: “Dari segi undang-undang, ia tidak akan (memudaratkan).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.