Pahang haram vape

Pahang haram vape

Peniaga vape dinasihat ambil langkah sewajarnya dan tidak lagi mengambil bekalan.

Vape
Exco Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata keputusan pengharaman menyeluruh selaras titah Sultan Pahang berulang kali zahir kebimbangan kesan buruk vape. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pahang mengharamkan penggunaan vape secara menyeluruh selaras fatwa dikeluarkan pejabat mufti negeri.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli, Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata justeru peniaga diingatkan secara beransur-ansur tidak lagi mengambil bekalan vape.

Katanya, pihak berkuasa tempatan turut disaran melaksanakan penguatkuasaan secara berhemah dan berhikmah agar masyarakat memahami bahaya penggunaan vape.

“Kita faham peniaga mungkin berdepan kekangan, jadi mereka boleh mulakan langkah secara beransur-ansur seperti tidak lagi mengambil bekalan vape.

“Pengguna pula digalakkan untuk berikhtiar meninggalkan tabiat ini dengan bantuan doa kepada Allah SWT,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata, keputusan pengharaman menyeluruh vape dicapai selepas dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pahang di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), Kuantan.

“Fatwa ini turut mendapat limpah perkenan Sultan Pahang yang telah beberapa kali bertitah menyuarakan kebimbangan terhadap kesan buruk penggunaan vape.”

Terdahulu, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan kebimbangan punca utama golongan muda terjebak ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula penggunaan vape.

Titahnya, baginda akan menyuarakan kepada kerajaan supaya vape diharamkan secara total dan tidak perlu diberi pertimbangan sewajarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.