
Beliau berkata, ia susulan pengendali tersebut melanggar beberapa syarat antaranya ‘memajak’ permit kepada pihak ketiga serta gagal mengaktifkan sistem pengesanan global (GPS).
“Saya telah arahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tarik serta-merta permit pengendali terbabit selepas tamat tempoh surat tunjuk sebab. Semua lesen pengendali termasuk beberapa bas lain akan dibatalkan.
“Walaupun ada proses rayuan yang boleh dia (syarikat pengendali) buat, kementerian tegaskan segala rayuan tidak akan dilayan,” katanya dalam sidang media.
Loke berkata, syarikat pengendali bas beralamat di Kedah memajak permitnya kepada pihak ketiga dari Kelantan dengan bayaran RM500 sebulan.
“Apabila mereka diminta serahkan laporan GPS, mereka tidak dapat serahkan sebab GPS tak diaktifkan. Ini melanggar syarat,” katanya.
Kelmarin, dilaporkan APAD mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas terbabit sebagai sebahagian komitmen kerajaan menjamin keselamatan penumpang dan mempertanggungjawabkan syarikat pengendali.
Seramai 15 penuntut UPSI maut selepas bas dinaiki mereka melanggar Perodua Alza, sebelum terbabas dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, dekat Tasik Banding, awal pagi 9 Jun.
Sebelum ini, syarikat pengendali bas, Kenari Utara, berkata kenderaan itu diselenggara bulan lalu, manakala pemandu dipinjam daripada syarikat lain, dimaklumkan seorang berhemah dan arif laluan antara Gerik dan Jeli.
Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan pemandu terbabit konon ‘brek tidak berfungsi’ sehingga mengakibatkan nahas, Loke berkata siasatan terperinci akan dijalankan.
“Itu kenyataan dia sahaja. Kita akan buat laporan forensik dan sebagainya yang lebih terperinci sama ada dakwaan itu betul atau tidak.
“Tetapi, daripada rakaman ‘dashcam’ pengguna jalan raya lain, amat jelas bahawa ketika itu bas terbabit memotong dan memecut dengan laju dan akhirnya terbabas,” katanya.
Loke juga berkata, kementerian akan membina sistem pangkalan data membabitkan semua pemandu bas menerusi APAD bagi menangani isu kecuaian pemandu dengan menyeluruh.
“Mana-mana pemandu ada rekod lampau akan dapat disenarai hitamkan melalui pangkalan data tersebut,” katanya sambil menyifatkan ia rujukan penting kepada syarikat yang ingin menggajikan mereka.