Kunci Asean kekalkan keamanan lebih 50 tahun

Kunci Asean kekalkan keamanan lebih 50 tahun

FMT merungkai bagaimana blok Asia Tenggara bantu mengekalkan kestabilan menerusi ‘diplomasi senyap’ dan kerjasama.

ASEAN flag bendera
Asean yang dibentuk pada 1967 ketika dunia dibelenggu Perang Dingin dan pergolakan serantau, merupakan pertaruhan berani untuk pendekatan bertongkatkan diplomasi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Asia Tenggara dianggap antara rantau paling aman di dunia ketika ini, namun kestabilan itu bukan sesuatu yang berjaya dicapai hanya secara kebetulan.

Tanpa ‘diplomasi senyap’ seperti diamalkan Asean, pertumbuhan ekonomi, mobiliti antara sempadan dan kesepaduan tidak mungkin dapat menjadi kenyataan.

Namun kini, dalam pada ketegangan geopolitik kian terasa, peranan blok itu untuk memastikan keamanan terus dirasai dalam kalangan 10 ahlinya malah semakin penting lagi.

Lahir hasil konflik

Asean dibentuk pada 1967 ketika kemuncak Perang Dingin, sewaktu Asia Tenggara menjadi lubuk konfrontasi ideologi antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet.

Ketika itu, rantau ini dibelenggu konflik: Vietnam bergelumang perang, Kemboja dihimpit Khmer Rouge, manakala Malaysia baru mengakhiri zaman darurat.

Hubungan antara lima anggota pengasas sekalipun tidaklah sentiasa indah. Indonesia dan Malaysia bertelingkah ketika konfrontasi pada awal 1960-an, manakala Singapura berpisah dari Malaysia pada 1965.

Dalam keadaan inilah Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand menandatangani Deklarasi Bangkok untuk menyatakan komitmen terhadap dialog dan kerjasama, yang kemudian diperkukuhkan menerusi manifesto Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (Zopfan) pada 1971 dan Hubungan Persahabatan dan Kerjasama pada 1976.

“Pentingnya (Asean) tidak selalunya nampak ketara, kerana kerajaan-kerajaan kita bekerjasama dengan baik dan melaksanakan diplomasi bijak dalam menangani krisis serta mengekalkan keamanan dan ketenteraman,” kata bekas setiausaha agung Asean yang juga Duta Besar Singapura Ong Keng Yong kepada FMT.

“Kerjasama dan diplomasi Asean bekerja di sebalik tabir untuk memajukan pembangunan ekonomi, kestabilan politik dan keselamatan, serta kemajuan sosiobudaya,” katanya.

Dari kancah kemiskinan kepada kemajuan

Suatu ketika dahulu Asean merangkumi negara yang kebanyakannya berpendapatan rendah, namun kini bangkit menjadi ekonomi kelima terbesar dunia, dengan gabungan KDNK hampir USD4 trilion, setakat 2024.

Pertumbuhan ini dipacu usaha integrasi serantau, seperti Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta), selain inisiatif mobiliti dan keterhubungan.

Jawatan pengerusi dipegang Malaysia pada 2015 menandakan satu kejayaan dengan pelancaran Wawasan Komuniti Asean 2025, iaitu perancangan jangka panjang untuk mengukuhkan integrasi merentasi arena politik, ekonomi dan sosial.

Komuniti Politik-Keselamatan Asean (APSC) yang dilancarkan pada 2009, menyokong kerjasama dalam usaha antikeganasan, keselamatan maritim dan ancaman siber sambil mempertahankan prinsip berkecuali dan konsensus yang menjadi pegangan Asean.

Walaupun kadangkala dilabel sekadar ‘omong-omongan’, Ong berkata proses inilah yang sebenarnya membolehkan Asean menangani ketegangan bukan saja dalam blok itu malah menjangkauinya.

“Persidangan Asean serta mesyuarat menteri-menterinya yang disokong pelbagai rundingan rasmi, berusaha mengatasi perbezaan pendapat dan menerokai kemungkinan untuk perjanjian meliputi spektrum yang amat luas,” katanya.

Asean dalam kehidupan seharian

Impak Asean turut dirasai warganya. Perjanjian Rangka Kerja Asean mengenai Pengecualian Visa 2006, yang diratifikasikan sepenuhnya oleh Singapura pada 2018, memudahkan perjalanan bebas visa antara negara anggota.

Ini memacu pelancongan, mobiliti dan pertukaran budaya. Dalam Sidang Kemuncak Asean ke-46 pada Mei, perwakilan belia mengetengahkan betapa blok itu semakin relevan.

“Oleh kerana rantau kita begitu berintegrasi, dan telah melakukan begitu banyak program pertukaran, tahap kesedaran mengenai Asean dan nilai-nilai kita semakin terserlah dalam kalangan belia hari ini,” kata Austin Patrick, perwakilan dari Myanmar.

“Kita dapat mewujudkan dana bersama bagi melabur dalam ekosistem pemula niaga, seterusnya mempromosikan aksesibiliti bukan saja dalam ruang pembayaran malah juga dari segi pendidikan dan penjagaan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Michelle Ann Villanueva dari Filipina berkata Asean turut membantu memupuk perpaduan sosial.

“Kita mencintai dan menerima kepelbagaian kita,” katanya. “Asalkan ia dilakukan secara bermaruah, terhormat dan berteraskan nilai murni, saya rasa kita melakukan sesuatu yang hebat untuk komuniti kita.”

Memandang ke hadapan: Wawasan 2045

Dalam pada kuasa-kuasa utama bersaing untuk memperluaskan pengaruh di Asia, prinsip pengasasan Asean – keberkecualian, dialog dan kerjasama – semakin relevan pada masa ini.

Cita-cita ini membentuk tulang belakang Wawasan Komuniti Asean 2045, iaitu pelan strategik bagi memandu rantau ini ke arah fasa seterusnya pembangunan dalam keadaan ketidakpastian yang semakin meningkat.

Dusit Manapan, penasihat kepada Kementerian Luar Thailand, menggalakkan negara anggota terus berharap dan kekal bersatu dalam menuju ke arah masa depan yang tidak pasti ini.

“Kita tiada pilihan lain. Kita perlu bersatu dan melihat ke arah masa depan lebih cerah,” katanya menambah, negara anggota Asean mesti saling berganding kekuatan.

Buat generasi akan datang, Asean menawarkan satu platform bersama bagi menangani cabaran seperti perubahan iklim, ketidaksaksamaan dan pembangunan lestari – isu yang tidak mungkin dapat diselesaikan bersendirian oleh sesebuah negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.