
Pensyarah kanan ekonomi Universiti Malaya (UM), Goh Lim Thye, berkata hutang negara berjumlah RM1.22 trilion atau 63% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setakat April 2024 memerlukan pengurusan teliti tetapi ‘tidak semestinya mengancam kemakmuran masa depan’.

“Dalam menilai kemampanan hutang, ahli ekonomi kurang menekankan jumlah hutang secara mutlak, sebaliknya menumpukan kepada keupayaan negara membayar hutang dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan pertumbuhan atau mencetuskan ketidakstabilan kewangan,” katanya kepada FMT.
Dalam konteks Malaysia, beliau berkata negara masih mempunyai keupayaan fiskal ketara, asas ekonomi pelbagai serta akses berterusan kepada pasaran modal domestik dan antarabangsa.
Lebih penting lagi, institusi antarabangsa terus menunjukkan keyakinan terhadap asas ekonomi Malaysia.
“Ketiga-tiga agensi penarafan kredit utama — S&P Global, Moody’s dan Fitch Ratings — telah mengekalkan penarafan gred pelaburan Malaysia pada 2024,” kata Goh yang juga timbalan dekan (pembangunan) di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM.
“Penarafan ini menyampaikan mesej penting kepada komuniti pelabur global: kedudukan fiskal Malaysia diurus secara berhemah dan kerajaan sedang membuat kemajuan dalam reformasi diperlukan,” katanya.
Pujian daripada IMF
Inisiatif reformasi fiskal kerajaan turut menerima penilaian positif daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Dalam laporan Mac lalu selepas rundingan dengan pihak berkuasa Malaysia pada Disember, IMF mengalu-alukan komitmen kerajaan terhadap penyatuan fiskal serta ‘penggubalan bersejarah’ Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA).
“Dasar semasa menumpukan kepada pembinaan semula ruang fiskal, meningkatkan potensi pertumbuhan dan memperkukuh perlindungan sosial sambil mengekalkan kestabilan makroekonomi dan kewangan.
“Akta FRA digubal pada 2023 bertujuan memperkukuh pengurusan dan tadbir urus fiskal,” katanya.
IMF menyatakan keadaan ekonomi Malaysia menggalakkan menyediakan ruang masa untuk membina semula dasar makroekonomi dan mempercepatkan reformasi struktur.
Agensi itu turut menyatakan di bawah kerangka Ekonomi Madani, kerajaan telah membangunkan dasar-dasar memfokuskan kepada peningkatan pendapatan, menangani perubahan iklim, memajukan pendigitalan dan meningkatkan tadbir urus.
Reformasi fiskal dan struktur

Ketua penyelidik MIDF Amanah Investment Bank, Imran Yusof, bersetuju reformasi fiskal dan struktur sedang dilaksanakan kerajaan akan menjadi penampan baik dan membantu memperbaiki kedudukan hutang.
“Kami percaya kerajaan berada di landasan betul mencapai lebihan fiskal lebih tinggi dan mengurangkan defisit fiskal,” katanya.
Usaha penyatuan fiskal oleh pentadbiran semasa sudah menunjukkan hasil, dengan defisit fiskal menurun secara beransur-ansur sejak kerajaan perpaduan mengemudi Putrajaya pada akhir 2022.
Kerajaan telah melebihi sasaran defisit fiskal 4.3% pada 2024, apabila berjaya menurunkannya kepada 4.1% daripada KDNK berbanding 5% pada 2023. Tahun ini, ia diramalkan turun kepada 3.8%.
Defisit fiskal berlaku apabila jumlah perbelanjaan kerajaan melebihi pendapatan diperoleh, tidak termasuk pinjaman.
Penurunan defisit fiskal ini disokong pengurangan berterusan dalam pinjaman baharu, yang merosot kepada RM75 bilion pada 2024 berbanding RM93 bilion pada 2023. Pada 2022, pentadbiran sebelum ini meminjam RM100 bilion.
Bagi hutang negara, Imran berpendapat ia lebih sesuai dinilai berdasarkan nisbah hutang kepada KDNK berbanding jumlah mutlaknya.
Beliau menyatakan selagi wujud defisit belanjawan, tahap hutang negara akan terus meningkat.
“Namun, Malaysia sentiasa mengamalkan perbelanjaan operasi seimbang dan defisit berpunca daripada perbelanjaan pembangunan yang boleh diibaratkan pelaburan untuk pertumbuhan ekonomi negara.”
Beliau menjelaskan, perbelanjaan pembangunan dibiayai melalui pinjaman bertujuan memastikan ekonomi terus berkembang atau supaya kejutan ekonomi tidak memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.
“Oleh itu, selagi KDNK nominal terus berkembang maka kita menjangkakan tahap hutang kekal terkawal,” katanya.
Masalah diwarisi
Goh berkata tahap hutang negara yang tinggi ketika ini bukan mencerminkan kegagalan pengurusan oleh pentadbiran semasa, tetapi sebaliknya ‘warisan kompleks daripada faktor-faktor berkaitan krisis dan struktur’.
“Beban hutang semasa sebahagian besarnya berpunca daripada faktor legasi dan perbelanjaan luar biasa berkaitan krisis,” katanya.
Ini termasuk tindakan kerajaan terdahulu terhadap pandemik Covid-19, trend fiskal tidak menggalakkan sebelum pandemik dan pengurusan kewangan legasi seperti skandal 1MDB.
Tindak balas terhadap penyebaran virus Covid-19 telah meningkatkan hutang negara apabila kerajaan dipimpin Perikatan Nasional (PN) melancarkan lebih RM530 bilion dalam bentuk pakej rangsangan dan pemulihan, termasuk lebih RM100 bilion dalam suntikan fiskal langsung antara 2020 hingga 2022.
“Langkah-langkah ini penting memelihara kelangsungan hidup rakyat, melindungi PKS dan mengelakkan kejatuhan ekonomi, tetapi memberi kos besar kepada kewangan awam,” katanya.
Goh turut menyatakan skandal 1MDB telah menambah tanggungan hutang jangka panjang dan liabiliti bersyarat kepada kerajaan.
“Walaupun sebahagian liabiliti langsung telah diselesaikan, implikasi fiskal yang lebih luas — termasuk kepercayaan pelabur yang lebih rendah dan kos peluang — masih berterusan sehingga hari ini.
“Persoalannya kini ialah bagaimana memulihkan daya tahan dan petanda awal menunjukkan kerajaan sedang mengambil langkah bermakna ke arah itu,” katanya.