Ada cabaran bina rumah atas stesen kereta api, kata pakar

Ada cabaran bina rumah atas stesen kereta api, kata pakar

Cabaran itu termasuk kekuatan struktur stesen, isu bunyi dan getaran serta kos pembinaan perlu ditangani sebelum cadangan dilaksanakan.

Zairul Mohd Noor dari Universiti Putra Malaysia mencadangkan projek rintis bina rumah atas stesen kereta api di lokasi strategik seperti stesen MRT Kwasa Damansara atau KTM Serdang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cadangan membina perumahan atas stesen kereta api bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas mesti dirancang dan diteliti dengan berhati-hati kerana ada cabaran utama perlu ditangani, kata pakar serta ahli akademik.

Mereka berpendapat, cadangan itu mempunyai asas kukuh dalam perancangan bandar moden melalui pendekatan pembangunan berorientasikan transit (TOD) seperti di Jepun.

Timbalan Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Zairul Mohd Noor, berkata antara cabaran perlu ditangani termasuk struktur stesen kereta api sedia ada mungkin tidak direka bentuk untuk menampung bangunan bertingkat.

“Selain itu, bunyi dan getaran boleh menjejaskan kualiti kehidupan penghuni serta kos pembinaan mungkin lebih tinggi berbanding projek konvensional,” katanya kepada FMT.

“Perlu juga dipastikan projek seperti ini benar-benar menyasarkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana agar tidak menjadi projek mewah yang terpisah daripada keperluan sebenar rakyat.”

Zairul mencadangkan kerajaan memulakan projek rintis di lokasi strategik seperti stesen MRT Kwasa Damansara atau KTM Serdang.

“Teknologi pembinaan modular atau sistem volumetrik prasiap juga wajar dipertimbangkan kerana ia mampu menjimatkan masa dan meningkatkan keselamatan pembinaan.

“Projek sebegini memerlukan pasukan pelaksana merangkumi pakar pelbagai bidang termasuk arkitek, jurutera struktur, perancang bandar dan pakar sosial bagi menjamin keberkesanan serta kelestariannya.”

Sementara itu, pakar perancangan bandar dan wilayah, Noor Hashimah Hashim Lim, berkata projek perumahan atas stesen kereta api tidak mustahil, namun memerlukan perancangan dan direka bentuk secara berhati-hati.

Katanya, kajian kesesuaian tapak melibatkan penilaian impak sosial dan kesan alam sekitar perlu dilakukan, selain soal pengezonan gunaan mahupun pemilikan tanah harus diselesaikan.

“Paling penting, mentaliti dan tingkah laku bakal penghuni juga perlu diambil kira,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, cadangan membina rumah atas stesen kereta api sedang diteliti bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana pelaksanaannya memerlukan beberapa pindaan peraturan sedang diusahakan.

“Maknanya, ia (projek perumahan rakyat) dibangunkan di atas (stesen kereta api). Perumahan komersial, tak semuanya perumahan rakyat, tetapi sebahagiannya,” katanya dalam sebuah forum pada 4 Jun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.