Penganggur didakwa kelar isteri diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Penganggur didakwa kelar isteri diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Majistret membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya Mohamad Khairul Azmi Ithnin dirujuk ke Hospital Permai Johor Bahru bagi menjalani pemeriksaan psikiatri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Tangkak mengarahkan penganggur yang didakwa membunuh isterinya dengan mengelar mangsa menjalani pemeriksaan psikiatri.

Majistret Lee Kim Keat membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 32, dirujuk ke Hospital Permai Johor Bahru bagi menjalani pemeriksaan psikiatrik mengikut peruntukan Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mati jika sabit kesalahan, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di depan majistret.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Khairul didakwa membunuh Iecah Junus, 34, di sebuah rumah di No 18, Jalan Cahaya, Taman Cahaya, Serom antara 3.30 petang hingga 5.30 petang 2 Jun lalu.

Berita Harian melaporkan tiada jaminan ditawarkan dan sebutan semula kes ditetapkan 8 Julai ini untuk laporan patologi serta ujian DNA.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan kejadian itu hanya diketahui selepas tertuduh menghubungi abang iparnya dan meminta dihantar ke balai polis berdekatan.

Tertuduh kemudian dikatakan menceritakan apa yang berlaku, sebelum membawa polis ke tempat mayat isterinya ditemui dalam keadaan berbalut selimut.

Polis turut menemui sebilah pisau di sisi wanita itu dan disyaki digunakan untuk membunuh mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.