Jangan buat kenyataan terbuka tak untungkan parti, pesan PKR Selangor

Jangan buat kenyataan terbuka tak untungkan parti, pesan PKR Selangor

Kritikan patut disuarakan secara dalaman elak persepsi negatif rakyat, kata Setiausaha PKR Selangor Mohd Khairuddin Othman.

Setiausaha PKR Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata, sebagai parti kerajaan, PKR ada saluran dalaman betul yang boleh digunakan untuk menyuarakan kritikan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemimpin PKR Selangor mengingatkan semua ahli dan pimpinannya termasuk wakil rakyat berhenti membuat kenyataan terbuka yang tidak menguntungkan parti.

Setiausaha PKR Selangor, Mohd Khairuddin Othman, berkata kritikan sepatutnya disuarakan secara dalaman bagi mengelak persepsi negatif rakyat.

“Kita minta semua anggota beri tumpuan kepada mengukuhkan parti di Selangor. Jangan ‘tembak kaki sendiri’ secara terbuka.

“Kita parti kerajaan dan kita ada saluran parti yang boleh digunakan,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Izuan Kasim, berkata semua pemimpin termasuk peringkat akar umbi sepatutnya fokus menyatukan kembali ahli selepas pemilihan parti.

“PKR sepatutnya jadi suara rakyat dan beri penerangan program kerajaan.

“Saya hormati pandangan dan kritikan setiap ahli, tetapi bukan semua pandangan perlu disampaikan melalui media massa,” kata Adun Kota Damansara.

Terdahulu, Timbalan Ketua PKR Subang, Wan Hasifi Amin, menggesa Ahli Parlimen Subang Wong Chen ‘berundur secara terhormat’ jika merasakan tidak lagi seiring perjuangan parti pada masa ini.

Wan Hasifi berkata, pihaknya kecewa dan turut hilang keyakinan terhadap Wong yang tidak menghadiri mesyuarat PKR Subang sejak pemilihan kepimpinan 2022, malah sehingga kini tiada jawatankuasa Pakatan Harapan (PH) Parlimen Subang ditubuhkan.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap pengumuman Wong bahawa beliau bercuti dua minggu di Perancis untuk berehat bersama keluarga sambil menilai masa depan politiknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.