
KTMB dalam kenyataan memaklumkan antara lokasi terkesan ialah laluan Tapah Road-Sungkai (KM250.5) dengan anggaran kecurian kabel sepanjang 200m, diikuti kawasan Kamunting-Bukit Merah-Bagan Serai (KM87.25) sepanjang 110m serta kawasan Simpang Ampat-Bukit Mertajam (KM15.5) melibatkan 40m kabel.
Insiden itu menyebabkan perjalanan tren terjejas dengan kelewatan ketara 80 hingga 115 minit membabitkan EP9172 (KL Sentral-Butterworth), EG9321 (Butterworth-Segamat), EX9107 (Butterworth-KL Sentral), EX9207 (Padang Besar-KL Sentral) dan EG9420 (Segamat-Padang Besar).
Selain itu, perkhidmatan KTM Komuter Utara laluan Ipoh-Butterworth-Ipoh turut terganggu dengan purata kelewatan 30 minit.
Menurut KTMB, sebagai langkah awal, pemakluman dibuat kepada penumpang menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan platform media sosial rasmi KTMB.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha dalam kenyataan sama memaklumkan kira-kira 45 kes kecurian kabel dicatatkan di sektor utara dari Januari hingga bulan lalu.
“Kecurian sebegini merupakan satu bentuk sabotaj terhadap infrastruktur rel yang boleh mengancam keselamatan ratusan penumpang serta melumpuhkan sistem pengangkutan awam.”
Sebagai langkah mitigasi, KTMB memaklumkan pihaknya akan menambah baik rangkaian sistem persemboyanan melibatkan anggaran kos RM12.8 juta setahun dalam tempoh tiga tahun dengan penumpuan kepada kawasan titik panas.
Antaranya, pemasangan penutup lurang (manhole) dengan mekanisme kunci keselamatan khas di 21 lokasi, selain menambah infrastruktur pemantauan dan pencegahan, termasuk kamera litar tertutup (CCTV), dron serta memasang pagar keselamatan antipanjat.
Katanya, pemantauan dan pengawasan oleh anggota polis bantuan KTMB dengan kerjasama polis akan dipertingkatkan di kawasan titik panas bagi menangani kes kecurian kabel.
“KTMB menyeru kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah ini.
“KTMB juga memohon maaf atas segala kesulitan dialami penumpang dan terus komited memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan perkhidmatan tren demi kepentingan rakyat dan negara.”
Sejumlah RM1.44 juta kerugian dicatatkan akibat kecurian kabel di sektor utara melibatkan RM1.28 juta tahun lalu dan RM162,000 setakat Mac lalu.