Anwar sekali lagi pertahan rentak reformasi

Anwar sekali lagi pertahan rentak reformasi

Reformasi bermakna mesti dilaksana secara strategik, dipacu kesepakatan, kata PM.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim akui kekecewaan para pengkritik tuntut hasil reformasi lebih segera, tetapi beliau turut rujuk batasan kerajaan campurannya.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi tampil mempertahankan rentak reformasi bawah pentadbirannya, menegaskan bahawa perubahan yang bermakna mengambil masa serta harus dilaksanakan secara bijaksana dengan sokongan politik yang meluas.

Bercakap pada majlis pelancaran Pusat Kecemerlangan Kajian dan Inovasi dalam Ekonomi Islam di Sasana Kijang, Anwar berkata, beliau sedang melakukan yang terbaik mengikut keterbatasan kuasanya

“Mampukah kita laksanakan reformasi besar-besaran ini dalam tempoh setahun, dua atau tiga tahun? Saya tidak tahu … tetapi apa yang saya tahu, kita tidak boleh patah balik lagi,” katanya.

Mengakui kekecewaan para pengkritik yang menuntut hasil lebih segera, Anwar merujuk batasan kerajaan campurannya.

“PKR ada 36 (Ahli Parlimen), Pakatan Harapan (PH) ada 82. Bukanpun majoriti mudah,” katanya menambah, PH beruntung dapat bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan.

“Namun kita tak boleh ambil mudah perkara-perkara ini, proses rundingan, perbincangan dan libat urus penting.”

Tambahnya, sokongan rakan gabungan lain, seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), juga penting dalam usaha memacu pelaksanaan program-program nasional.

Anwar berkata demikian beberapa hari selepas bekas menteri Khairy Jamaluddin memberi kerajaan markah 50% dalam reformasi ekonomi struktur sejak ia mula mentadbir pada November 2022.

Khairy menyebut kekurangan kemajuan dalam tiga bidang, iaitu meluaskan asas cukai, merasionalisasikan subsidi, dan reformasi pencen.

Dalam satu kenyataan berkaitan, Ahli Parlimen Subang Wong Chen turut menzahirkan kebimbangan bahawa kerajaan pimpinan Anwar mungkin akan mengakhiri penggalnya tanpa sebarang kemajuan yang signifikan dalam agenda reformasi institusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.