Ahli Parlimen Gerik cadang tubuh pasukan tindak pantas di Pulau Banding

Ahli Parlimen Gerik cadang tubuh pasukan tindak pantas di Pulau Banding

Fathul Huzir Ayob berkata pasukan dilengkapi keupayaan perubatan kecemasan, teknikal dan logistik penting untuk beri bantuan awal kepada mangsa kemalangan.

kemalangan bas gerik
Nahas di JRTB Gerik-Jeli, dekat Tasik Banding membabitkan sebuah bas dan Perodua Alza mengorbankan 15 penuntut UPSI. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa menubuhkan pasukan tindak pantas tetap di Pulau Banding susulan kemalangan mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Perak, awal pagi semalam.

Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob, berkata kewujudan pasukan khas dilengkapi keupayaan perubatan kecemasan, bantuan teknikal dan logistik amat penting bagi memberi bantuan awal kepada mangsa kemalangan.

Fathul Huzir Ayob.

“Pasukan ini menempatkan klinik, ambulans, polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pasukan Jabatan Sukarelawan (Rela) ini dapat membantu tanpa perlu menunggu pasukan penyelamat dari bandar Gerik atau Jeli semata-mata.

“Ini kerana tempoh perjalanan untuk ke JRTB Pulau Banding mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam atau lebih,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian semalam, seramai 15 pelajar UPSI maut selepas bas dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke universiti itu melanggar bahagian belakang Perodua Alza, sebelum terbabas dan terbalik di JRTB Gerik-Jeli, dekat Tasik Banding.

Sementara itu, Fathul juga mencadangkan kerajaan memberi perhatian serius berhubung pembinaan semula JRTB.

Katanya, laluan dibina pada 1967 itu telah uzur dengan tar dan struktur jalannya yang usang dan berteknologi lama.

“Ianya perlu dibina dengan material dan reka bentuk baharu, dilebarkan dan dipasang lampu jalan. Manakala, garisan jalan dan papan tanda lebih efisien perlu dipasang bersesuaian dengan keadaan JRTB yang melalui Hutan Simpan Royal Belum,” katanya.

Fathul berharap kejadian seperti itu mampu membuka mata pelbagai pihak untuk bersama membina keperluan dan pembinaan yang sesuai sebagai langkah pencegahan awal kemalangan.

Katanya, tragedi itu seharusnya menjadi peringatan kepada semua mengenai kepentingan aspek keselamatan jalan raya dan keperluan mendesak untuk menambah baik infrastruktur sedia ada demi kesejahteraan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.