Tengku Zafrul tak setuju buat PRK ‘tanpa keperluan mendesak’

Tengku Zafrul tak setuju buat PRK ‘tanpa keperluan mendesak’

Bekas ahli MKT Umno itu sangkal spekulasi PRK akan diadakan di Selangor buka peluang beliau jadi MB.

Zafrul Tengku Aziz NGCC pc 140425
Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, enyertaan dalam PRK bukan faktor beliau meninggalkan Umno dan berhasrat sertai PKR.
PETALING JAYA:
Tengku Zafrul Abdul Aziz menafikan spekulasi PRK akan diadakan di Selangor bagi membuka laluan beliau menjadi menteri besar.

Tidak bersetuju dengan PRK tak perlu, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu menegaskan, tiada perbincangan diadakan mengenai penyertaannya dalam PRK.

Perkara itu juga bukan faktor pertimbangan beliau keluar Umno dan berhasrat menyertai PKR, tambahnya.

“Tiada sebarang perbincangan tentang perkara ini pernah berlaku,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

“Saya sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan mendesak. PRK juga melibatkan masa dan duit rakyat.”

Tambahnya, keputusan berundur dari Umno ialah pilihan peribadi beliau sepenuhnya, bukan atas sebarang paksaan.

“Saya akui, ia bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam,” katanya.

Terdahulu dilaporkan bekas pemimpin Umno Isham Jalil mendakwa Menteri Besar Selangor Amirudin Shari akan diarah mengosongkan kerusi DUN Sungai Tua bagi membolehkan Tengku Zafrul bertanding dalam PRK.

Sekiranya menang di kerusi itu, Tengku Zafrul berpeluang mengambil alih jawatan menteri besar.

Amirudin kemudian menafikan kerusi dimenanginya pada PRN 2023 itu akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada individu lain bertanding, proses yang menurutnya bukan semudah disangka.

Susulan pengumuman Tengku Zafrul pada 30 Mei lepas, timbul banyak desas-desus berhubung nasibnya sebagai menteri apabila penggal terakhirnya sebagai senator akan tamat pada akhir tahun ini.

Berhubung perkara itu, menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya isu berhubung kedudukannya dalam Jemaah Menteri kepada budi bicara Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau akan terus melaksanakan tugas sebagai senator sehingga tamat tempoh perkhidmatan.

“Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti,” katanya.

“Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat, dan selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu jawatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.